ADVERTISEMENTspot_img

Astro Membawakan Kisah Anak Muda, Muzik Dan Impian Menerusi School of Stars (S.O.S)

KUALA LUMPUR: Astro selaku peneraju industri hiburan di Malaysia akan mempersembahkan siri drama terbaharu yang bertemakan muzikal, School of Stars (S.O.S). Drama ini merealisasikan kisah persahabatan, percintaan dan persaingan anak-anak remaja dalam menggapai impian mereka. Siri lapan episod ini akan bersiaran mulai 18 November 2026, setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam melalui Astro Ria (saluran 104), Astro GO, On Demand, dan Sooka.

S.O.S yang berlatarbelakangkan kehidupan pelajar universiti akan membawa penonton menyelami dunia anak muda yang sentiasa diduga dengan cabaran, tekanan dan persaingan untuk membuktikan mereka mempunyai bakat yang tersendiri. Dengan sentuhan muzik, siri ini turut mengetengahkan isu yang dekat dengan generasi muda masa kini termasuk isu keyakinan diri, kesihatan mental, tabiat membuli dan tekanan perasaan.

Siri ini juga menampilkan barisan bakat muda tempatan yang sedang meningkat naik seperti Evertts Gomes, Nelysa Kay, Daniel Fong, Alvy Joanna dan Faiz Najib. Mereka akan menghidupkan telatah sekumpulan pelajar dengan personaliti dan latar belakang berbeza. Namun begitu, mereka sering berkongsi minat serta impian yang sama dalam dunia muzik. Turut membintangi siri ini adalah pelakon berpengalaman Adlin Aman Ramlie, Emelda Rosmila dan Rashidi Ishak. Siri S.O.S turut mendapat sokongan daripada NESCAFÉ selaku Rakan Strategik, yang turut membawakan kemeriahan dan meningkatkan pengalaman tontonan sepanjang siri ini berlangsung. Drama ini diterbitkan oleh Red Communications Sdn. Bhd. di bawah penerbit Lina Tan dan arahan Imri Nasution.

Bagi memertabatkan lagi keunikan siri ini, Astro turut memperkenalkan lagu runut bunyi asal (OST) berjudul ‘Terbang Tinggi’, yang telah dilancarkan pada 21 Oktober 2026. Lagu ini dinyanyikan oleh DNA, sebuah kumpulan muzik fiksyen yang turut menjadi sebahagian daripada jalan cerita S.O.S. Pelancaran Terbang Tinggi memberi peluang kepada para peminat untuk mengenali dan menjiwai muzik dan identiti DNA serta mengikuti perjalanan mereka menerusi siri ini. Lagu tersebut turut membawa mesej tentang keberanian mengejar impian, percaya kepada kebolehan diri dan terus bangkit walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Menurut Penolong Naib Presiden, Kandungan GenNext, Nufazlina Radzi, “Melalui S.O.S., kami ingin membawakan sebuah kisah yang dekat dengan kehidupan generasi muda hari ini. Selain hiburan dan muzik, siri ini turut menyentuh cabaran yang sering dihadapi mereka seperti tekanan sosial, keyakinan diri dan pencarian identiti. Harapan kami siri ini bukan sahaja dapat menghiburkan penonton malah akan memberi inspirasi kepada mereka untuk terus percaya pada kebolehan diri, tidak mudah berputus asa dan berani mengejar impian walaupun berdepan pelbagai cabaran. Kami juga ingin menyampaikan mesej bahawa setiap individu mempunyai perjalanan hidup dan cerita tersendiri, dan apa yang penting adalah untuk terus menjadi diri sendiri.”

S.O.S. mengisahkan pengorbanan Fiz (Evertts Gomes), seorang pelajar berbakat daripada keluarga berpendapatan rendah, yang menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seni. Perjalanan semakin mencabar apabila Fiz bertemu dengan Puteri (Nelysa Kay), seorang pelajar yang meletakkan harapan tinggi terhadap dirinya, serta Damien (Daniel Fong), teman lelaki Puteri yang berbakat dan berasal dari keluarga berada. Persaingan antara mereka kemudiannya berkembang menjadi konflik dan mereka perlu belajar bekerjasama sambil mengetepikan perbezaan masing-masing demi menghadapi pertandingan yang bakal menentukan masa depan.

Langgan Pek Entertainment Astro X3 serendah RM39.99/sebulan (RRP: RM59.99/sebulan) dan strim serta-merta tanpa dekoder atau pemasangan. Layari www.astro.com.my atau WhatsApp 03 9543 3838 untuk melanggan hari ini.

*Tertakluk pada terma dan syarat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN