Nizam
TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Tawau perlu dikekalkan sebagai kampus yang berfungsi sepenuhnya, susulan cadangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mengkaji semula atau merasionalisasikan operasinya.
Beliau berkata, walaupun Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir dilaporkan menjelaskan bahawa kampus berkenaan tidak akan ditutup, cadangan rasionalisasi operasi serta penggunaan kemudahan kampus sebagai hab pendidikan untuk institusi lain masih menimbulkan persoalan mengenai hala tuju sebenar UiTM Tawau.
Nizam berkata, pengekalan kampus itu tidak seharusnya sekadar memastikan bangunan dan kemudahannya terus digunakan, sebaliknya identiti institusi, fungsi akademik serta peluang pengajian tinggi yang disediakan kepada masyarakat setempat perlu dipertahankan.
“UiTM Tawau mesti dikekalkan sebagai sebuah kampus UiTM yang berfungsi sepenuhnya. Identiti institusi, fungsi akademik dan peluang pendidikan yang ditawarkan tidak boleh dikompromi,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, sejak mula beroperasi pada 1996, UiTM Tawau memainkan peranan penting menyediakan akses pendidikan tinggi kepada anak-anak Bumiputera, khususnya dari Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan kawasan lain di Pantai Timur Sabah.
Katanya, kewujudan kampus itu membolehkan pelajar tempatan melanjutkan pengajian tanpa perlu menanggung kos tambahan yang tinggi untuk perjalanan, penginapan dan sara hidup sekiranya terpaksa berpindah ke daerah atau negeri lain.
Menurutnya, kemudahan berkenaan amat bermakna kepada keluarga berpendapatan rendah yang bergantung kepada peluang pendidikan berhampiran sebagai laluan meningkatkan taraf kehidupan.
Mengulas jumlah 254 pelajar setakat 30 Sept 2026 yang dibangkitkan Menteri Pendidikan Tinggi ketika memberikan penjelasan di Dewan Rakyat, beliau berkata angka berkenaan tidak wajar dijadikan satu-satunya ukuran untuk menentukan keperluan dan kelangsungan sesebuah kampus.
Sebaliknya, katanya, penilaian perlu mengambil kira kapasiti sebenar kemudahan akademik termasuk bilik kuliah, infrastruktur pengajaran dan pembelajaran serta keupayaan kampus menampung pertambahan pelajar pada masa hadapan.
“Keupayaan menyediakan tempat penginapan tidak semestinya menggambarkan kapasiti sebenar kemudahan akademik. Oleh itu, penilaian perlu dibuat secara menyeluruh berdasarkan keperluan dan potensi kampus,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta KPT menjelaskan secara terperinci asas dan kriteria penilaian yang digunakan dalam cadangan rasionalisasi berkenaan bagi memastikan sebarang keputusan mengambil kira realiti operasi kampus serta keperluan pendidikan masyarakat di Pantai Timur Sabah.
Nizam turut berpandangan UiTM Tawau masih mempunyai potensi untuk dikembangkan menerusi penawaran program pengajian yang lebih pelbagai dan bersesuaian dengan keperluan pembangunan ekonomi, pasaran pekerjaan serta industri tempatan.
Katanya, sebarang perancangan untuk mewujudkan institusi pendidikan baharu di kawasan itu seharusnya menjadi pelengkap kepada institusi sedia ada dan bukannya menggantikan peranan UiTM Tawau.
Beliau turut menggesa KPT memberikan jaminan jelas bahawa cadangan rasionalisasi itu tidak akan menjejaskan identiti, fungsi akademik dan kedudukan UiTM Tawau sebagai kampus universiti berkenaan di Pantai Timur Sabah.
Dalam pada itu, beliau berharap sebarang keputusan berkaitan masa depan kampus berkenaan turut mengambil kira pandangan Kerajaan Negeri Sabah, pengurusan UiTM, warga akademik, alumni serta masyarakat setempat.
“UiTM Tawau merupakan sebahagian daripada sejarah pembangunan pendidikan tinggi di daerah ini. Pendirian saya jelas, kampus ini mesti dikekalkan, diperkukuh dan terus diberikan peranan bermakna dalam pembangunan pendidikan tinggi di Pantai Timur Sabah,” katanya.



