LAWAT GERAI…Toh Puan Faridah bersama Datuk Hj Mohd Arifin dan Pengerusi Pelaksana, Datuk Hj Sapdin Ibrahim melawat gerai-gerai Ambuyat dan demonstrasi makanan tradisi Brunei pagi Ahad.
MEMBAKUT: Pesta Ambuyat Sabah yang sudah masuk Tahun ke-5 sememangnya berpotensi sebagai antara daya tarikan pelancongan di daerah ini sempena kempen Tahun Melawat Sabah 2027.
Dalam hubungan ini Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif berkata Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) akan menambah lagi pelbagai acara tahun depan bukan hanya memperkenalkan keunikan warisan makanan dan kebudayaan masyarakat tempatan sahaja tapi pelbagai produck lagi.
” Kita akan tambah baik lagi aktiviti yang akan dilaksanakan agar ianya turut melibatkan kaum-kaum lain di daerah ini” kata Mohd Arifin yang juga Presiden PMBS.
Menurt beliau pihaknya akan memperjuangkan cadangan agar pesta berkenaan dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sabah bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Daerah Membakut.
“Penganjuran pesta ini akan dipertingkatkan pada tahun hadapan dengan menggabungkan beberapa program kebudayaan dan kesenian lain, termasuk Mahrajan yang berlangsung sebelum ini” tambahnya.
Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja mengetengahkan warisan masyarakat Brunei Sabah, malah turut membabitkan penyertaan etnik lain menerusi penganjuran pesta adat atau Pesta Begandang.
“Kita akan menambah baik mana yang perlu dan meningkatkan program seumpama ini. Sempena Melawat Sabah 2027, Pesta Ambuyat ini akan kita jadikan salah satu daya tarikan di kawasan ini.
“Kita juga akan satukan program ini dengan Mahrajan dan beberapa program lain yang melibatkan etnik berbeza di Membakut,” katanya.
Beliau yang berpuas hati terhadap sambutan kedua-dua program dalam tempoh lima hari ini berkata sambutan yang amat menggalakan ini membuatkan PMBS akan terus menjalin kerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan Negeri merealasasikan matlamat ini pada masa akan datang.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan sambutan Pesta Ambuyat di Dewan Seri Wawasan Kg Pimping di sini, pada Ahad.
Sambutan itu turut diserikan dengan kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah Toh Puan Faridah Tussin.

TERBAIK STPM ..Toh Puan menyampaikan hadiah kepada Pelajar Paling Cemerlang di majlis itu sambil diperhatikan oleh Mohd Arifin dan tetamu yang lain.
Mohd Arifin berkata, beberapa pengisian lain turut dirancang bagi memeriahkan program berkenaan, antaranya aktiviti sukan, larian pantai, bengkel khat serta seminar kesenian dan kesusasteraan.
Katanya, bengkel khat turut dirancang membabitkan penyertaan antarabangsa, manakala nadwah kesenian dan kesusasteraan turut disasarkan menjadi program bertaraf antarabangsa dengan penyertaan pembentang kertas kerja dari luar negara.
Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan akan diselaraskan oleh beberapa agensi termasuk Pejabat Daerah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS); Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), PMBS, ABIM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.
Beliau berharap gabungan pelbagai program berkenaan dapat memperkukuh tarikan pelancongan Membakut, selain membantu usaha Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menjayakan Tahun Melawat Sabah 2027.
Pelbagai acara menarik diadakan dalam Pesta Ambuyat kali ini termasuk Pertandingan Idangan Set Ambuyat yang disertai oleh 18 Pasukan PMBS dari seluruh Sabah.
Pemenang Terbaik Idangan Set Ambuyat ialah Dapur Dangsanak Brunei mewakili PMBS Cawangan Weston. Mereka menerima hadiah wang tunai RM1,500 dan sijil penyertaan.
Pemenang ke-2 Terbaikialah Cawangan Benoni diwakili Kumpulan De Qaseh Stall menerima wang tunai RM1,000 dan sijil.
Pemenang ke-3 Terbaik pula Cawangan Pimping (Kumpulan Ipar Duai Selogong) menerima hadiah wang tunai RM800 dan sijil.
Kesemua pasukan yang mengambil bahagian menerima wang tunai masing-masing RM400 dan sijil.
Acara lain Pertandingan Kulintangan Remaja Bawah 16 tahun dan Gambus Solo Bawah 40 tahun.
Turut menghiburkan pengunjung Persembahan Istimewa Fauziah Gambus yang menyampaikan 8 buah lagi etnik Brunei.



