ADVERTISEMENTspot_img

Sabah Autism Society dapat sokongan dana peruntukan daripada Ewon

Ewon (kanan) ketika menyempurnakan pelepasan peserta sempena program UMS Sunset Autism Run

KOTA KINABALU: Sabah Autism Society (SAS) menerima sokongan dana keusahawanan sebanyak RM50,000 daripada Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, bagi melaksanakan inisiatif keusahawanan melalui pusat-pusat autisme kendalian persatuan itu, bermula tahun 2027.

Ewon berkata, dana berkenaan bertujuan menyokong usaha SAS memperkenalkan aktiviti keusahawanan yang dapat memberikan manfaat kepada individu autisme, selain membuka peluang kepada golongan berkeperluan khas untuk mengembangkan potensi dan kemahiran mereka.

“Saya bersetuju untuk menyokong inisiatif-inisiatif keusahawanan yang mahu diperkenalkan melalui pusat-pusat autisme kendalian SAS dengan dana keusahawanan sebanyak RM50,000.

“Sebagai ibu bapa yang juga membesarkan anak berkeperluan khas, saya dan isteri turut berkongsi keprihatinan dengan ibu bapa lain yang membesarkan anak-anak istimewa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan program UMS Sunset Autism Run edisi keenam anjuran SAS di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, kelmarin.

Program yang disertai lebih 1,000 peserta itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai autisme, selain memupuk semangat kebersamaan dan sokongan terhadap individu autisme serta keluarga mereka.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada SAS atas komitmen berterusan dalam memperjuangkan kebajikan dan pembangunan individu autisme di Sabah.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Presiden SAS, Jennifer Balanting, seluruh jawatankuasa penganjur, para sukarelawan dan semua penaja yang telah menjayakan program ini,” katanya.

Sementara itu, Jennifer merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ewon atas sokongan dana RM50,000 yang disifatkan sebagai suntikan penting kepada usaha persatuan memperkenalkan aktiviti keusahawanan untuk komuniti autisme.

Beliau berkata, dana berkenaan akan dimanfaatkan bagi melaksanakan beberapa inisiatif yang dirancang SAS, termasuk projek penanaman roselle di Tuaran.

“Kami amat menghargai keprihatinan dan sokongan Datuk Ewon terhadap usaha SAS, khususnya dalam memperkenalkan aktiviti keusahawanan melalui pusat-pusat autisme kendalian persatuan.

“Peruntukan ini akan dimanfaatkan untuk melaksanakan aktiviti yang dirancang, antaranya projek penanaman roselle di Tuaran,” katanya.

Jennifer turut merakamkan penghargaan kepada UMS, semua peserta, penaja korporat, usahawan orang kurang upaya (OKU), sukarelawan serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan UMS Sunset Autism Run edisi keenam itu.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN