ALBUM KENANGAN: Mohd Arifin (duduk, tengah) bergambar bersama Ahli Jawatankuasa Pusat PMBS sebelum sesi taklimat persiapan Pesta Ambuyat Sabah 2026 diadakan.
KOTA KINABALU: Persiapan Pesta Ambuyat Sabah 2026 anjuran bersama Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) dan Yayasan Dangsanak Sabah pada 1 Nov ini berjalan lancar, dengan pelbagai pertandingan, penyampaian insentif pendidikan dan pameran produk tempatan menjadi antara tarikan utama.
Pengerusi Pelaksana, Datuk Haji Sapdin Ibrahim berkata semua pengerusi pertandingan sudah membentuk jawatankuasa masing-masing bagi memastikan kelancaran penganjuran pesta berkenaan.
Beliau berkata persiapan bagi pertandingan Idangan Set Ambuyat, Memanting Gambus Solo, Mengual Kulintangan Remaja serta penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang anak-anak masyarakat Brunei dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berjalan dengan baik.

“Hampir semua persiapan berjalan dengan baik dan kita hanya menunggu masa untuk mengadakan pesta ini,” katanya ketika memberikan taklimat kepada Presiden PMBS, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif, di sini baru-baru ini.
Mohd Arifin, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, akan merasmikan pesta edisi kelima itu di Dewan Sri Wawasan, Kampung Pimping, bermula 9 pagi hingga selesai.
Pengerusi Pertandingan Idangan Set Ambuyat, Hajah Rugayah Haji Ag Besar berkata sebanyak 18 pasukan daripada cawangan PMBS di seluruh Sabah sudah mengesahkan penyertaan dalam pertandingan berkenaan.
Juara pertandingan akan menerima hadiah wang tunai RM1,500, diikuti naib juara RM1,000 dan tempat ketiga RM800, manakala setiap pasukan yang mengambil bahagian akan menerima sagu hati RM400.
Bagi pertandingan Gambus Solo, Pengerusinya, Haji Pg Jafar Hj Pg Osman berkata lima peserta akan dipilih untuk berentap di peringkat akhir, dengan pertandingan itu diadili oleh pengadil profesional.
Beliau yang juga Naib Presiden I PMBS berkata pemenang tempat pertama akan menerima RM1,000, naib juara RM700, tempat ketiga RM500, tempat keempat RM300 dan tempat kelima RM200.
Sementara itu, Pengerusi Pertandingan Mengual Kulintangan Remaja Bawah 16 Tahun, Haji Ampuan Wahab Ampuan Hamzah berkata lima kumpulan akan bersaing di peringkat akhir.
Juara pertandingan akan membawa pulang RM1,500, naib juara RM1,300, tempat ketiga RM1,000, manakala tempat keempat dan kelima masing-masing menerima RM500.
Dalam bidang pendidikan, PMBS turut meneruskan pemberian insentif kepada anak-anak masyarakat Brunei di Sabah yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM.
Pengerusi Biro Pendidikan PMBS, Prof Dr Haji Rasid Haji Mail berkata seramai 30 pelajar layak menerima Anugerah Pelajar Cemerlang SPM selepas memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 7A, manakala 44 pelajar STPM layak menerima insentif selepas mencapai keputusan PNGK 3.0.
Beliau berkata Ahli Jawatankuasa Pusat (AJP) PMBS memutuskan pemberian insentif RM300 bagi setiap pelajar SPM dan RM400 bagi pelajar STPM yang layak.
Sebagai galakan tambahan, pelajar yang memperoleh 10A dalam SPM akan menerima RM700, manakala pelajar yang mencapai PNGK 4.0 dalam STPM akan menerima RM1,000.
Selain pertandingan dan penghargaan pendidikan, lebih 20 gerai akan dibuka bagi menjual serta mempamerkan produk tempatan, termasuk hasil keluaran usahawan dari negara jiran, Brunei Darussalam.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan demonstrasi pembuatan kuih tradisional masyarakat Brunei seperti penyaram, kuih cincin, kuih sapit, kakara dan tapai.
Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Hajah Faridah Tussin, dan isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag, dijadualkan menjadi tetamu kehormat pada pesta berkenaan.



