ADVERTISEMENTspot_img

KPDN Cadang Peluasan Subsidi Diesel Feri Kudat-Pulau Banggi

Armizan (kanan) menyampaikan bantuan wang tunai dan sumbangan Bakul Rahmah kepada salah seorang penerima.

KUDAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencadangkan peluasan subsidi diesel bagi perkhidmatan feri laluan Kudat-Pulau Banggi.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan mengambil maklum tentang isu berbangkit berhubung perkhidmatan feri di antara Kudat dan Pulau Banggi khususnya berkaitan pengurangan jumlah kekerapan perjalanan oleh dua syarikat yang mengendalikan perkhidmatan sedia ada.

“KPDN bersama YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi dan agensi-agensi kerajaan berkaitan telah mengadakan sesi libat urus dengan kedua-dua syarikat pengendali feri yang mengaitkan pengurangan kekerapan perjalanan adalah berpunca daripada kenaikan kos operasi dan kos bahan api diesel.

“Mengambil kira kepentingan perkhidmatan feri  sebagai pengangkutan utama yang menghubungkan penduduk antara bandar Kudat dan Pulau Banggi, KPDN telah mengangkat cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan peluasan pemberian subsidi diesel kepada pengusaha perkhidmatan feri bagi laluan Kudat-Pulau Banggi.

“Cadangan ini dibuat berdasarkan keperluan perkhidmatan feri bagi sektor ini adalah tertumpu kepada keperluan perhubungan penduduk setempat dan bukannya aktiviti pelancongan.

“Perkhidmatan feri laluan Kudat-Pulau Banggi merupakan pengangkutan utama yang menghubungkan penduduk Pulau Banggi dengan bandar Kudat bagi menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial, mendapatkan akses kepada perkhidmatan asas serta bekalan keperluan harian,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Kepenggunaan di Dewan Terbuka Esscom, Pulau Banggi, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, pertimbangan subsidi ini akan membolehkan kedua-dua syarikat pengendali feri meningkatkan semula jumlah kekerapan perjalanan.

“Perincian mekanisme pelaksanaan akan diumumkan tertakluk kepada persetujuan dan keputusan Kementerian Kewangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan KPDN turut melaksanakan program dan ikhtiar sara hidup kepada penduduk Banggi, antaranya memperkasa pelaksanaan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) dan Program Pengedaran Barang Perlu.

“Bagi tahun ini, bermula 1 Januari 2026 hingga 18 Oktober 2026, sebanyak 35 siri PJRM telah dilaksanakan Pulau Banggi.

“Manakala 31 siri PJRM telah diadakan pada tahun 2025.

“Sementara itu, pelaksanaan Program Pengedaran Barang Perlu di Pulau Banggi merangkumi 77 POS (point of sale) yang melibatkan tiga zon iaitu Karakit, Damaran dan Pulau-Pulau Sekitar Pulau Banggi,” tambahnya.

Antara pengisian program ialah penyampaian geran tanah, sumbangan Bakul Rahmah dan wang tunai melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar, Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Datuk Ramlee Kariah, Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil, Pegawai Daerah Kudat, Charles William Dabbi, Penolong Pegawai Daerah Kecil Banggi, Jaslee Jaafar, Ketua Polis Daerah Kudat, Supt. Mohd Haris Ibrahim serta Timbalan Pengarah Tanah dan Ukur, Sr. Ahmad Shah A Kallon./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN