ADVERTISEMENTspot_img

GRS perlu terjemah empat prinsip dari atas ke bawah: Victor

Victor P Paut.

TAMBUNAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu menterjemahkan empat prinsip utamanya secara konsisten menerusi teladan kepimpinan dan tindakan nyata dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi, kata Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Datuk Victor P Paut.

Beliau berkata, pendirian Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang menegaskan kepentingan Sabah perlu diutamakan berbanding ego politik selari dengan prinsip Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper.

Katanya, pelaksanaan prinsip berkenaan perlu bermula daripada kepimpinan sebelum diamalkan anggota di peringkat bahagian, daerah dan cawangan.

“Sabah First bermaksud mengutamakan kepentingan negeri dan rakyat, Sabah United menekankan perpaduan, Sabah Forward membawa agenda kemajuan, manakala Sabah Prosper memastikan kemakmuran dinikmati rakyat secara menyeluruh.

“Prinsip ini perlu diterjemahkan dari atas ke bawah (top-down), dengan pemimpin menjadi contoh kepada akar umbi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hajiji ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen GRS di Kudat, Ahad lepas, menegaskan kepentingan Sabah dan perpaduan gabungan itu perlu diutamakan berbanding kepentingan parti atau individu bagi memastikan kekuatan politik negeri terus terpelihara.

Beliau berkata, perpaduan dalam GRS penting bagi memperkukuh kuasa tawar-menawar Sabah di peringkat Persekutuan, tanpa dibayangi pertelingkahan, perebutan kedudukan dan ego politik.

Dalam perkembangan berkaitan, Victor berharap Parlimen Keningau dimasukkan dalam sasaran GRS untuk menandingi sekurang-kurangnya 16 daripada 26 kerusi Parlimen di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera berkata, Keningau memerlukan pendekatan pembangunan lebih menyeluruh dan strategik bagi merancakkan ekonomi setempat serta meningkatkan kesejahteraan penduduk.

“GRS boleh menang di Keningau dan keyakinan ini disokong kerja keras di akar umbi sejak sekian lama.

“Keningau memerlukan pembaharuan dan pembangunan lebih strategik kerana kemajuannya masih di takuk lama, sedangkan kawasan ini mempunyai potensi besar untuk dibangunkan,” katanya.

Kerusi Parlimen Keningau kini disandang Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, yang memenanginya pada PRU15 pada 2022 dan keluar daripada GRS sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN