SIMBOLIK… Rowindy (kiri) menyampaikan bantuan peralatan rumah berupa zink kepada penerima bagi pihak Ewon Benedick.
Oleh: Paul Ukau
MEMBAKUT: Keluarga Lucius Primos di Kampung Takapan menerima bantuan zink, kayu dan papan lapis daripada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, bagi membaik pulih kediaman mereka yang memerlukan pembaikan supaya lebih selesa dan selamat.
Sumbangan itu disampaikan Ketua Bahagian UPKO Kimanis, Rowindy Lawrence Odong, yang mewakili Ewon dalam kunjungan ke rumah keluarga berkenaan.
Menurut Rowindy, bantuan bahan binaan itu membolehkan keluarga Lucius bergotong-royong membaiki rumah mereka, khususnya bagi menghadapi keadaan ketika hujan.
Beliau berkata, keluarga itu sudah lama mengemukakan permohonan bantuan melalui UPPM dan masih menantikan kelulusan.
Sementara menunggu proses berkenaan, beliau memanjangkan keperluan keluarga itu kepada Ewon bagi mengusahakan bantuan yang dapat meringankan beban mereka.
“Walaupun bantuan ini tidak seberapa, saya berharap ia dapat meringankan beban keluarga beliau dan membantu menyediakan kediaman yang lebih selesa, khususnya ketika hujan melanda,” katanya.
Rumah keluarga Lucius menjadi persinggahan pertama Rowindy dalam kunjungan menyantuni Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian UPKO Kimanis serta meninjau keadaan dan keperluan masyarakat di Bongawan dan Membakut.
Gerak kerja itu dilaksanakan selepas beliau menghadiri mesyuarat di ibu pejabat UPKO.
Rowindy berkata, melihat sendiri keadaan kediaman keluarga Lucius menyentuh hatinya dan mendorong beliau mengusahakan bantuan mengikut kemampuan yang ada.
“Bagi saya, khidmat kepada masyarakat bukan sekadar hadir dalam majlis atau pertemuan rasmi, tetapi juga turun padang, mendengar sendiri kesusahan rakyat dan berusaha membantu mengikut kemampuan yang ada,” katanya.
Beliau turut berharap urusan keluarga Lucius dipermudahkan dan usaha baik pulih rumah mereka berjalan lancar, agar bantuan yang disampaikan membawa manfaat kepada keselesaan kehidupan seharian mereka.
“Kita terus mendengar, menyantuni dan berusaha membantu,” katanya.



