EWON…Apa sebenarnya yang berlaku?
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mempersoalkan pembatalan 40 daripada 65 tender projek Jalan Luar Bandar (JLB) di Sabah tahun ini yang melibatkan kos projek berjumlah RM5.144 bilion, dan meminta Kerajaan Persekutuan menjelaskan status serta hala tuju pelaksanaannya.
Menurut Ewon yang juga presiden UPKO, perkara berkenaan menimbulkan kebimbangan memandangkan projek terbabit dilaporkan telah memasuki peringkat pengiklanan dan pelawaan tender, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Sabah akan kehilangan satu tahun pelaksanaan bagi projek berkenaan.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, Ewon meminta kerajaan menjelaskan status sebenar peruntukan pembangunan JLB di Sabah, termasuk sama ada projek yang terjejas akan dibawa ke tahun hadapan untuk dilaksanakan di bawah Belanjawan 2027.
Beliau berkata pembangunan infrastruktur asas, khususnya jalan raya, bekalan air dan elektrik, mempunyai hubungan langsung dengan kesejahteraan rakyat serta kemajuan ekonomi negeri.
Menurutnya, kelewatan penyaluran peruntukan dan pelaksanaan projek boleh menjejaskan akses penduduk kepada kemudahan asas, selain melambatkan aktiviti ekonomi setempat.
Ewon berkata Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab memastikan projek pembangunan infrastruktur di Sabah dilaksanakan tanpa kelewatan yang tidak wajar, termasuk dari segi penyaluran peruntukan dan proses perolehan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan atas peruntukan Persekutuan sebanyak RM18.7 bilion untuk Sabah pada 2027.
Bagaimanapun, Ewon menegaskan keberkesanan Belanjawan 2027 perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan jumlah peruntukan yang diumumkan, tetapi juga keupayaan kerajaan memastikan projek dilaksanakan mengikut perancangan dan manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.
Beliau turut mencadangkan supaya peruntukan pembangunan bagi Sabah disalurkan pada suku pertama setiap tahun, manakala proses perolehan diselesaikan selewat-lewatnya pada suku kedua bagi membolehkan projek dimulakan dalam tahun kewangan yang sama.



