ADVERTISEMENTspot_img

Ewon cadang bayaran hak 40 peratus Sabah dinaikkan kepada RM3.019 bilion

Ewon ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya bayaran interim kepada Sabah dinaikkan daripada RM1.5 bilion kepada RM3.019 bilion berdasarkan 40 peratus kutipan hasil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di negeri itu pada 2025.


Beliau berkata cadangan itu merupakan langkah awal yang praktikal bagi merealisasikan hak Sabah di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Menurutnya, kutipan hasil LHDN dan JKDM di Sabah pada 2025 berjumlah RM7.547 bilion, dengan 40 peratus daripada jumlah itu bersamaan RM3.019 bilion.


“Kerajaan Persekutuan boleh memulakan pelaksanaan pembayaran 40 peratus kepada Sabah berdasarkan kutipan hasil kedua-dua agensi ini sementara rundingan mengenai kutipan hasil yang lain diteruskan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.


Ewon berkata pendekatan itu boleh menjadi langkah awal ke arah pemulihan hak hasil Sabah yang menurutnya merupakan antara asas penting persetujuan negeri itu menyertai pembentukan Malaysia.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan atas peningkatan pembayaran khas kepada Sabah daripada RM600 juta pada 2025 kepada RM1.5 bilion pada 2026.


Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pembayaran khas berkenaan bukanlah pembayaran hak 40 peratus, sebaliknya bersifat interim seperti yang dinyatakan dalam pengumuman Belanjawan 2027.


Katanya, hasil berkenaan penting bagi membolehkan Sabah menangani kemiskinan, memperkukuh pembangunan modal insan, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mempercepat pembangunan infrastruktur dan ekonomi negeri.


Ewon berkata pelaksanaan hak itu perlu diberi perhatian serius bagi memastikan Sabah memperoleh sumber kewangan yang sewajarnya untuk menangani jurang pembangunan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN