Phoong (kiri) ketika mempengerusikan mesyuarat
KOTA KINABALU: Lapan laluan perkhidmatan BAS.MY Kota Kinabalu atau Bas Pink akan dijajar semula bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam itu mencakupi sekurang-kurangnya 70 peratus laluan utama di kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP Sabah) Senator Datuk Phoong Jin Zhe berkata penjajaran semula itu diputuskan dalam Mesyuarat Anggota LPKP Sabah Bilangan Ke-7 Tahun 2026 pada 25 September lepas.
Beliau berkata langkah itu bertujuan mengoptimumkan perkhidmatan BAS.MY Kota Kinabalu selain memenuhi keperluan penumpang di kawasan terlibat.
“Antara kawasan baharu yang akan dilibatkan ialah Tanjung Aru, Klinik Luyang, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Bandar Sierra dan Kota Kinabalu High School,” katanya dalam kenyataan media.
Phoong berkata proses penyelarasan penjajaran laluan baharu itu dijangka selesai pada 15 Oktober ini.
Menurutnya, permintaan terhadap BAS.MY Kota Kinabalu menunjukkan peningkatan ketara sejak perkhidmatan itu dilancarkan sepenuhnya pada 11 Ogos lepas, dengan 367,797 penumpang direkodkan sehingga 20 September.
Sehubungan itu, beliau berkata LPKP Sabah akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), DBKK serta pihak berkepentingan bagi menyediakan kemudahan infrastruktur seperti hentian bas, lay-by dan kotak bas di lokasi kritikal.
“Pada masa sama, pemantauan dan penguatkuasaan operasi akan ditingkatkan serta dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan perkhidmatan BAS.MY Kota Kinabalu beroperasi dengan teratur, mematuhi syarat operasi dan memberikan perkhidmatan yang baik kepada penumpang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Phoong berkata LPKP Sabah turut mahu proses pelesenan kenderaan perdagangan dipermudah dengan mengurangkan karenah birokrasi menerusi kajian semula terhadap keperluan dokumen sokongan yang tidak lagi signifikan kepada objektif pengeluaran lesen.
Katanya, antara dokumen yang sedang dikaji semula termasuk kontrak perjanjian perniagaan dan maklumat kebankrapan.
Beliau berkata langkah penambahbaikan itu diharap dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat serta menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah secara keseluruhannya.



