Mohd Aslan Shah (dua kiri) bersama ahli forum Program Kesedaran Sisa Marin, Profesor Dr. Shamsul Bahari (tiga kiri), Aliudin @ Din Atat (tiga kanan) dan Dr. Phemela (kanan).
LABUAN: Kewujudan sisa marin melangkaui sekadar isu pencemaran visual; ia merupakan suatu ancaman langsung terhadap tahap keselamatan dan integriti pelayaran.
Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL), Mizool Amir Mat Drus berkata secara teknikalnya, sisa laut seperti ‘pukat hantu’ membawa risiko yang tinggi kerana boleh tersangkut pada kipas atau baling-baling kapal.
Selain itu, sisa plastik berpotensi menyekat sistem penyejukan enjin kapal.
“Perkara ini bukan sahaja membahayakan kelancaran navigasi, bahkan turut mengakibatkan lonjakan kos penyelenggaraan infrastruktur yang amat tinggi,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmkian Program Kesedaran Sisa Marin: “Lautan Bersih, Pelabuhan Lestari” Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan bagi Tahun 2026 di Dewan Theatrette, UMSKAL pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Keselamatan LPL, Mohd Aslan Shah Mohd Azhar.
Pada majlis itu, diadakan forum yang menampilkan Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Profesor Dr. Shamsul Bahari Shamsudin; Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Labuan, Aliudin @ Din Atat @ Mohd Arsyid dan Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Laut Malaysia (JLM) Labuan, Dr. Phemela K Francis sebagai ahli panel manakala Pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Samsulbahri Mohd Nasir sebagai moderator.
Turut hadir Ketua-Ketua Kampung, Majlis Perwakilan Penduduk Labuan, kakitangan dan pelajar UMSKAL.
Program ini diharapkan dapat menjadi platform yang menyatukan pelbagai pihak berkepentingan bermula daripada agensi kerajaan dan pemimpin komuniti, sehinggalah kepada barisan cendekiawan dan golongan belia.
Mizool Amir berkata kehadiran peserta membuktikan komitmen dan kesungguhan bersama untuk memastikan alam sekitar kekal bersih dan terpelihara.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak UMSKAL atas sinergi dan jalinan kerjasama strategik ini.
Inisiatif keilmuan merupakan manifestasi daripada ketetapan Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan Wilayah Persekutuan Labuan, yang bermatlamat untuk merumuskan solusi tuntas serta komprehensif berhubung pengurusan sisa marin di pulau Labuan.
Dari sudut pandang strategik, umum menyedari bahawa Labuan berfungsi sebagai hab maritim dan pelabuhan yang berkedudukan sangat strategik.
Namun demikian, kelancaran dan efisiensi operasi pelabuhan sering kali terjejas akibat permasalahan sisa buangan, terutamanya sisa plastik yang akhirnya terkumpul di ekosistem lautan.
Di peringkat antarabangsa, komitmen teguh negara kita dapat dilihat menerusi kepatuhan terhadap instrumen Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dan juga Konvensyen Basel (Basel Convention).
Kedua-dua instrumen antarabangsa ini menuntut pendekatan yang holistik dalam pengurusan sisa; di mana tumpuannya tidak hanya diberikan pada pengurusan sisa di daratan, tetapi turut merangkumi perlindungan serta pencegahan pencemaran secara tegas di lautan.
Komitmen ini jelas membuktikan pendirian tegas Malaysia dalam merealisasikan pengurusan sisa yang menyeluruh di semua peringkat tadbir urus.
Selaras dengan aspirasi kelestarian ekosistem, LPL kini berada dalam fasa memuktamadkan Garis Panduan Pengurusan Sisa Marin yang dirangka khusus untuk keperluan operasi di Labuan.
Pelaksanaan garis panduan ini merangkumi beberapa ketetapan utama, antaranya, pematuhan penuh kepada dasar Zero Discharge Policy yang selari dengan ketetapan antarabangsa MARPOL, di mana kapal dilarang sama sekali daripada membuang sisa plastik ke dalam laut.
Memastikan ejen perkapalan di Labuan hanya berurusan dengan pihak kontraktor yang memiliki lesen sah daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tujuan pengurusan sisa kapal.
Di peringkat pentadbiran dalaman, LPL sedang giat beralih ke arah inisiatif kelestarian dengan mengurangkan serta menghapuskan penggunaan plastik pakai buang di premis pentadbiran dan terminal pelabuhan.
Masyarakat perlu lebih peka terhadap kelestarian alam sekitar serta menolak sekeras-kerasnya sebarang pencemaran.
“Kejayaan kita dalam membendung pembuangan sisa di peringkat akar umbi seperti isi rumah mahupun persekitaran bandar merupakan satu langkah yang amat bermakna dalam melindungi lautan warisan kita,”katanya.



