ADVERTISEMENTspot_img

Sabah Mulakan Aksi Dengan 2 Emas, 1 Perak Kejohanan Tenpin Boling Antara Negeri

Nurul Alyssa dan Intan QistinaSabah meraih kemenangan satu-dua dalam kategori Wanita Individu, menerusi Nurul Alyssa (tengah) yang muncul juara, manakala Intan Qistina (kiri) di tempat kedua.

Oleh: Vitalis G.Bingkasan

KOTA KINABALU: Sabah bermula cemerlang meraih dua pingat emas dan satu perak di hari pertama kejohanan tenpin boling Antara Negeri Ke-37 2026 di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid, Selangor pada Isnin.

Pingat emas diraih Nur Aleeya Syakirah Awang Ali dalam kategori Remaja Perempuan Individu dan Nurul Alyssa Junaidi (kategori Wanita Individu) manakala pingat perak dimenangi Qistina Tamring (kategori Wanita Individu).

Nur Aleeya beraksi cemerlang seawal game pertama dengan catatan 242 jatuhan pin dan terus mendahului carta sehingga ke game terakhir.

Nurul Alyssa juga bermula cemerlang dengan 256 jatuhan pin yang meletakkannya sebagai pendahulu game pertama.

Beliau menerima saingan sengit selepas itu tetapi berjaya mengekalkan momentumnya untuk terus kekal di hadapan sehingga game terakhir.

Rakan sepasukan, Intan Qistina dengan permulaan 167 jatuhan pin adalah antara pesaing utama di mana dia juga memberi persembahan konsisten tetapi akur menamatkan cabaran di tempat kedua untuk bantu Sabah menang satu-dua kategori Wanita Individu.

Nur AleeyaNur Aleeya (tengah) bergambar pada majlis penyampaian hadiah selepas muncul juara acara Remaja Perempuan Individu.

Presiden Persatuan Tenpin Bowling Negeri Sabah (PTBNS), Rozzainy Sham Talip berkata, ia adalah permulaan baik yang diharap jadi pembakar semangat menghadapi pertandingan seterusnya.

“Syabas dan tahniah kepada pemain Sabah yang berjaya menyumbang pingat pada hari ini (Isnin).

“Semoga momentum kejayaan  ini akan dapat diteruskan di acara-acara  berikutnya dalam misi memburu sasaran mempertahankan gelaran juara keseluruhan kategori Remaja Perempuan dan mengejar impian muncul juara keseluruhan,” katanya.

Sabah diwakili 20 atlet pada kejohanan itu.

Sebagai rekod, Sabah memburu sasaran mempertahankan gelaran juara kategori Remaja Perempuan yang digenggamnya empat tahun berturut-turut sebelum ini (2022-2025).

Sabah juga mencipta kejutan apabila muncul naib juara keseluruhan tahun lalu dengan lima pingat emas, satu perak dan empat gangsa di mana ia adalah pencapaian terbaik pernah dicapai dalam kejohanan itu.

Rozzainy  berkata, selepas kejohanan antara negeri itu selesai pada Rabu (30 September), skuad Sabah akan meneruskan cabaran pada Kejohanan Tenpin Boling Kebangsaan Ke-48 yang akan berlangsung pada 1-5 Oktober di venue sama.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN