ADVERTISEMENTspot_img

Wanita 38 tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat lima di Donggongon

GAMBAR TULAR….Mangsa yang ditemukan terbaring di atas jalan selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 5.

PENAMPANG: Seorang wanita tempatan berusia 38 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di atas jalan di bahagian belakang sebuah bangunan di Donggongon, di sini, tengah hari tadi, sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang berlaku kira-kira 12.36 tengah hari.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan berkenaan dan mengalami kecederaan parah.

“Mangsa kemudian meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, kira-kira 1.05 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Katanya, bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes merangkap Ketua Polis Balai Penampang, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab Rahman di talian 016-449 2215 bagi membantu siasatan,” katanya.

Sammy turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan gambar dan video berkaitan kejadian bagi menjaga sensitiviti serta privasi keluarga mangsa.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN