ADVERTISEMENTspot_img

SCOMM perluas infrastruktur digital Sabah melalui kerjasama strategik – Ewon

Ewon ketima berucap pada Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik SCOMM di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

KOTA KINABALU: SEDCO Communications Sdn. Bhd. (SCOMM) berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam memperluas infrastruktur digital Sabah melalui kerjasama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi, pemilik premis dan sektor swasta, kata Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, sebagai entiti berkaitan Kerajaan Negeri di bawah Kumpulan SEDCO, SCOMM boleh membantu menterjemahkan hala tuju pembangunan Sabah kepada kemudahan telekomunikasi yang dapat digunakan oleh rakyat dan perniagaan.

“Ini termasuk pembangunan rangkaian gentian optik, peningkatan liputan di dalam bangunan, sambungan rangkaian utama dan kemudahan telekomunikasi lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik SCOMM di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Ewon berkata, kerjasama SCOMM dengan SICC, ITCC Penampang, Hyatt dan U Mobile menunjukkan bagaimana syarikat berkaitan kerajaan dan rakan industri boleh berganding bahu meningkatkan ketersambungan di lokasi tumpuan.

Katanya, SICC menjadi lokasi penting bagi persidangan dan acara antarabangsa, ITCC Penampang pula menjadi tumpuan kegiatan perniagaan dan masyarakat, manakala kemudahan perhotelan seperti Hyatt menyokong sektor pelancongan.

“Liputan dalaman yang lebih baik, termasuk 5G apabila dilaksanakan, akan membantu memenuhi keperluan pengunjung, penganjur acara, peniaga dan pengusaha pelancongan.

“Pada masa yang sama, infrastruktur telekomunikasi yang boleh diharapkan membantu syarikat beroperasi dengan lebih cekap dan menambah daya tarikan Sabah kepada pelabur,” katanya.

Beliau berkata, pengukuhan infrastruktur digital juga selaras dengan tumpuan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) terhadap pendigitalan dan kecerdasan buatan.

Menurutnya, manfaat ketersambungan yang lebih baik perlu turut dirasai usahawan kecil dan sederhana, termasuk melalui penggunaan pembayaran tanpa tunai, pemasaran dalam talian dan aplikasi awan untuk mengurus perniagaan.

Ewon berharap kerjasama yang dimulakan di lokasi komersial utama itu dapat menjadi asas untuk memperluas kemudahan digital secara berperingkat ke lebih banyak daerah dan komuniti di Sabah.

“Jurang ketersambungan masih perlu ditangani supaya lebih ramai rakyat mendapat peluang daripada ekonomi digital,” katanya.

Beliau juga mahu pembangunan infrastruktur berkenaan membuka peluang kepada jurutera, juruteknik, kontraktor dan syarikat teknologi tempatan, di samping memastikan projek yang dilaksanakan SCOMM mempunyai asas perniagaan yang kukuh dan menyumbang kepada keutamaan pembangunan Sabah.

Majlis menandatangani kerjasama strategik itu disaksikan oleh Ewon; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Datuk Masiung Banah; Pengarah Perniagaan Antarabangsa SEDCO Communications (SCOMM), Dato’ Seri Mossco Woo; dan Pengerusi SCOMM, Ruhaizul Rubin.

Dokumen kerjasama itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SCOMM, Subha Maraiah; Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Datuk Dr Hajah Rosmawati Haji Lasuki; Pengurus Besar ITCC Penampang, Benjamin Malakun; Ketua Program Rangkaian dan Pelaksanaan U Mobile, Jaime Chee; serta Pengurus Sistem Maklumat Hyatt Regency Kinabalu, Rendy Richard.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN