ADVERTISEMENTspot_img

23 atlet Sabah rekod tertinggi dalam sejarah wakili Malaysia ke Sukan Asia 2026

Nizam sukan asiaMenteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan pada Jumaat mempengerusi taklimat persiapan delegasi Sabah untuk memberi sokongan kepada atlet Sabah di Sukan Asia Ke-20 Aichi-Nagoya, Jepun 2026.

Oleh: Vitalis G.Bingkasan

KOTA KINABALU: Tahun ini menyaksikan Sabah melakar sejarah apabila 23 atletnya tersenarai dalam kontinjen Malaysia menghadapi cabaran Sukan Asia Ke-20 di Aichi-Nagoya, Jepun 2026.

Ia merupakan jumlah penyertaan tertinggi atlet Sabah dalam sejarah Sukan Asia dan mereka akan mengambil bahagian dalam sembilan jenis sukan.

Atlet Sabah terdiri daripada 12 lelaki dan 11 wanita itu adalah antara 352 atlet negara yang akan menghadapi sukan setiap empat tahun berkenaan  pada 19 September-3 Oktober.

Lima pemain sepak takraw wanita mendahului senarai atlet Sabah iaitu Fisydiana Faradona, Kamisah Khamis, Razmah Anam, Siti Hadinavilla Jumidil dan Veronica Asli.

Turut tersenarai ialah Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Evan Rich Chong Qi Wei, Quik Chern Xin (memanah); Andre Anura, Pengiran Aidil Auf Hajam, Nur Aishah Rofina Aling (olahraga); Andywalfian Jeffrynus, Muhajir Abdu Rauf, Shello Silverius (hoki); Mohamad Haznil Henry, Mukhriz Mazlan, Adeola Fay Robert (karate); Danyal Marczqui Rahmat Haron Muzaffa, Muhammad Aiman Aqeel Mohd Firdaus, Nur Hafizanah Zailan (pelayaran); Sandra Choe Yan Ting (bola keranjang); Kajolin Jenisin (ragbi wanita) dan Christian Didier Chin Zao Quan (padel).

Sukan padel adalah sukan baharu yang diperkenalkan buat pertama kali di Sukan Asia sebagai acara pingat untuk Christian yang juga bekas pemain tenis membuat penampilan bersejarah.

Persiapan sudah dilakukan untuk memasuki gelanggang pertarungan dan mereka tidak kesendirian. Di samping sokongan seluruh rakyat Malaysia, sokongan khusus juga akan didatangkan khas dari Sabah.

Delegasi Sabah yang akan diketuai sendiri oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan dijadualkan tiba di Jepun pada Rabu.

Kehadiran delegasi Sabah itu bukan sekadar untuk menyaksikan pertandingan tetapi turut bertemu atlet di penginapan dan venue bagi memastikan keadaan dan kebajikan mereka terjaga.

Sebagai penghargaan, Kerajaan Negeri Sabah menyediakan saguhati RM5,000 kepada setiap atlet Sabah yang mewakili negara di mana ini akan disampaikan secara simbolik di Jepun.

“Di Aichi-Nagoya nanti, ada yang akan memburu podium, ada yang berdepan pengalaman pertama di pentas sebesar ini dan ada juga atlet senior yang kembali membawa cabaran negara.

“Apa pun keputusan akhirnya, satu pencapaian sudah pun mereka bawa bersama sebelum pertandingan bermula…dari Sabah melangkah sebagai wakil Malaysia di pentas Asia,” kata MSN Sabah dalam laman rasmi Fecabooknya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN