PARASYABAS…Kontinjen Sabah naib juara Para SUKMA Selangor 2026 dengan pencapaian 69 pingat emas, 51 perak dan 45 gangsa, pencapaian yang melepasi sasasran 66 emas.
Oleh: Vitalis G. Bingkasan
KOTA KINABALU: Kontinjen Sabah serlahkan bahawa ia memiliki pakej terbaik untuk terus maju dengan pencapaian membanggakan pada Para SUKMA Selangor 2026 yang berlangsung pada 5-10 September lalu.
Mereka bukan hanya melepasi sasaran 66 pingat emas tetapi ia dicapai dengan kehadiran pelapis baru, kemunculan pemecah rekod dan mendominasi beberapa acara.
Kontinjen Sabah dengan kekuatan 271 anggota yang terdiri daripada 154 atlet 117 pegawai menyertai semua 10 sukan yang dipertandingkan dan membawa balik 69 pingat emas di samping 51 perak dan 45 gangsa.
Pencapaian Sabah itu hanya sedikit dinodai dengan kegagalan merampas semula gelaran juara yang turut menjadi misi bersandarkan sasaran emas, sasaran yang malah sudah dilepasi tetapi tidak memadai.
Gelaran juara milki tuan rumah Selangor dengan 93 pingat emas, 55 perak dan 52 gangsa manakala juara bertahan, Sarawak di kedudukan ketiga dengan 52 emas, 32 perak dan 54 gangsa.
Temasya itu disertai 14 pasukan iaitu semua pasukan negeri dan Wilayah Persekutuan dengan penglibatan lebih 1,000 atlet.
Walaupun gagal merampas semula gelaran juara yang diraih buat julung kalinya pada Para SUKMA Kuala Lumpur 2022, Sabah tetap boleh berbangga dengan pencapaian kutipan pingat yang terus meningkat.
Sabah hanya merangkul 54 emas, 36 perak dan 35 gangsa ketika muncul juara buat kali pertama sekaligus menamatkan dominasi 13 tahun Sarawak pada Para SUKMA 2022.
Sabah kemudian memperbaiki pencapaian dengan 62 pingat emas di samping 42 perak dan 32 gangsa pada Para SUKMA Sarawak 2024 tetapi ia gagal pertahankan gelaran juara yang dirampas semula pasukan tuan rumah yang merangkul 82 emas.
Edisi kali ini, kutipan pingat emas naik lagi dan mengatasi sasaran. Gagal merangkul semula gelaran juara tetapi dengan pencapaian cemerlang itu tentunya tiada apa lagi yang boleh dituntut dari kontinjen Sabah selain melihat masa depan.
Skuad olahraga menjadi lombong utama pingat dengan sumbangan 39 emas, 19 perak dan 21 gangsa iaitu lebih separuh daripada kutipan keseluruhan Sabah.
Ia menyaksikan Sabah sebagai kuasa besar olahraga berbanding pesaing terdekat, Selangor (24 emas, 29 perak dan 23 gangsa) dan Sarawak (20 emas, 15 perak dan 23 gangsa).
Skuad renang pula menyumbang 16 emas, 14 perak dan 10 gangsa (16e, 14p, 10g)iaitu kedua terbaik keseluruhan diikuti tenpin boling (5e, 2p, 1g), memanah (3e, 6p, 5g), ping pong (3e, 3p, 2g), badminton (2e, 4p, 2g), powerlifting (1e, 2p), boling padang (1p, 2g) dan boccia (2g).
Atlet Sabah juga mencatat 27 rekod baharu daripada keseluruhan 134 rekod baharu yang dicatatkan pada temasya kali ini.
Lapan daripada rekod baharu oleh atlet Sabah itu juga merupakan rekod baharu kebangsaan dan tujuh daripadanya dari skuad renang.
Wahyu Eqwal Nazerey yang baru berusia 16 tahun paling cemerlang apabila merangkul empat pingat emas individu di mana tiga daripadanya diraih dengan rekod kebangsaan.
Pingat emas dengan rekod kebangsaan itu adalah dalam acara 100m gaya bebas S4/S5 lelaki dengan catatan 1:37.16s, 50m kuak lentang S5 (41.50s) dan 100m kuak lentang S5/S6 (1:32.19s).
Wahyu juga menang emas acara 50m gaya bebas S4/S5 di samping membantu menang perak acara berpasukan 4x100m rampaian 34 mata lelaki dan gangsa acara berpasukan 4x100m gaya bebas 34 mata lelaki.
Abd Halim Mohammad, 28 dan Ethan Khoo Yin Jun, 22 juga menyerlah apabila masing-masing menang tiga emas dengan rekod kejohanan.
Abd Halim menang emas acara 100m gaya bebas S9 lelaki dengan catatan 1:04.11s dan 50m gaya bebas S9 (28.01s) yang juga merupakan rekod kebangsaan serta 100m kuak dada SB8 (1:15.79s).
Ethan Khoo pula menang emas acara 200m rampaian individu SM14 lelaki (2:21.02s) yang juga rekod baharu kebangsaan, 100m kuak lentang S14 (1:04.01s) dan 50m kuak lentang S14 (29.82s).
Suriyan Shah Malik, 25 juga antara penyumbang utama dengan empat pingat emas menerusi acara 100m kuak lentang S11, 100m kuak dada SB11, 100m gaya bebas S11 dan 50m gaya bebas S11 lelaki.
Dua lagi pingat emas dari skuad renang dimenangi Chia Faang Jann (50m kuak dada SB4 lelaki) dan Jonathan Wong (200m gaya bebas S4/S5 lelaki).
Catatan 39.19s Suriyan Shah dalam acara 50m gaya bebas juga merupakan rekod kebangsaan manakala emas Faang Jann dalam acara 50m kuak dada dengan catatan 1:01.12s adalah rekod baharu kejohanan.
Sepuluh daripada pingat emas yang dimenangi skuad olahraga juga dicatat dengan rekod baharu kejohanan menerusi Fredechi Asri dalam acara merejam lembing F40 wanita (12.89m), Frederica Joirey (merejam lembing F41 wanita: 15.37m), Jericho Hedryld Harry (merejam lembing F46 lelaki: 37.81m), Mukhriz Ameer Izzudin Abdul Rauf (200m T47 lelaki: 22.77s), Danny Hadid (800m T20 lelaki: 2:01.12s), Heronlee Wong (lempar cakera F37 lelaki: 37.12m), Connie Zeno (lempar cakera F40 wanita: 11.12m), Renodrry Remey (400m T20 lelaki: 49.48s), Muhamad Shaban Sahid (lompat jauh T45 lelaki: 5.04m) dan Charmian Sikajat (lontar peluru F20 wanita: 11.70m).
Turut mencatat rekod baharu kejohanan ialah Maxmalcolm Symond dalam acara powerlifting kategori 107kg ke atas lelaki dengan angkatan terbaik 145kg dan pasangan Jaynie Jamirin/Suzillah Saunin dalam acara memanah 70m round recurve Doubles PI 2 wanita dengan catatan 925 mata yang juga merupakan rekod baharu kebangsaan.
Dengan pencapaian terus meningkat tersebut, ia hanya soal masa bila Sabah akan menjadi kuasa besar Para SUKMA dengan syarat, jangan berhenti berusaha.



