Mohd asneh mohd noorAsneh sedang mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Karnival Bakat Negeri Sabah 2026 di Bilik Mesyuarat MSN Sabah pada Selasa.
Oleh: Vitalis G. Bingkasan
KOTA KINABALU: Ruang dan peluang lebih besar bakal disediakan untuk atlet muda negeri ini mendapat pendedahan pertandingan berkualiti menerusi Karnival Bakat Negeri Sabah 2026 yang dijangka diadakan pada Oktober depan.
Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dalam laman Facebook rasminya pagi ini (Selasa) berkata, karnival itu penting sebagai antara pelengkap pembangunan sukan kerana bukan semua atlet muda berpeluang merasai tekanan besar sebenar sebuah pertandingan.
“Ada yang sudah berbulan-bulan menjalani latihan di pusat pembangunan namun ruang untuk menguji kemampuan dalam suasana kompetitif masih terhad.
“Atas keperluan itu, MSN Sabah mula menyusun pelaksanaan Karnival Bakat Negeri Sabah 2026 yang dirancang sebagai platform pertandingan khusus untuk memberi lebih banyak pendedahan kepada atlet muda dalam progam pembangunan negeri,” katanya.
Dikatakan bahawa perkara itu menjadi antara fokus Mesyuarat Penyelarasan Karnival Bakat Negeri Sabah 2026 yang dipengerusikan Pengarah MSN Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor di Bilik Mesyuarat MSN Sabah, pagi tadi (Selasa).
Mesyuarat tersebut menghimpunkan pegawai MSN Sabah, Pegawai Pembangunan Sukan (SDO) dan wakil persatuan sukan bagi memperincikan konsep pertandingan termasuk kategori umur dan acara, penyertaan atlet, venue, keperluan teknikal serta penyelarasan pelaksanaan.
Antara sukan dalam perancangan karnival itu adalah angkat berat, judo, boling padang, memanah, menembak dan ping pong yang melibatkan atlet dari pusat-pusat program pembangunan MSN Sabah di beberapa daerah.
Karnival itu tidak dirancang dalam skala besar sebaliknya ia menggunakan pendekatan ringkas dan praktikal bagi memastikan tumpuan sepenuhnya diberikan kepada aspek pertandingan serta peluang kepada atlet muda menguji tahap semasa selepas menjalani laihan di bawah program pembangunan.
Prestasi atlet dalam karnival itu juga akan dijadikan sebagai medan penilaian perkembangan dan membantu mengenal pasti bakat yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Pelaksanaan karnival dicadangkan pada Oktober 2026 dengan tempoh pertandingan bagi setiap sukan akan disesuaikan mengikut keperluan dan jumlah penyertaan.
Perincian teknikal seterusnya akan dimurnikan oleh SDO bersama persatuan sukan masing-masing sebelum dimuktamadkan.
MSN Sabah menegaskan pembangunan atlet bukan hanya berlaku ketika latihan, malah mereka perlu diberi peluang untuk bertanding, mengurus tekanan dan membuktikan perkembangan masing-masing apabila berdepan lawan sebenar.
“Dari pusat latihan mereka dibentuk. Di medan pertandingan nanti, kita lihat sejauh mana bakat itu berkembang,” katanya.



