KENANGAN… Datuk Raisin (tengah) bergambar kenangan bersama para peserta yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu.
RANAU: Jamirdin Yusin tampil cemerlang apabila muncul juara Kategori Lawan Tetap Lawan (LTL) Nett pada Kejohanan Golf Persahabatan sempena persaraan di Pasir Putih Golf Club (PPGC), di sini, hari ini.
Kejohanan yang menggunakan sistem 36 (Handicap of the Day) itu menyaksikan Jamirdin mencatat 71 mata nett untuk mengungguli saingan, mengatasi Jamirin Sahamin yang mengumpul 73 mata.
Haji Suhilin Hadi dan Datuk Haji Raisin Saidin masing-masing mencatat 74 mata untuk berkongsi kedudukan ketiga, manakala Mohd Hafiz Stephen dan Jamain Abd Halim berkongsi tempat kelima dengan 75 mata.
Asmail Gakau dan Abas Saidin masing-masing merekodkan 76 mata, diikuti Dr Haison Jahudin di tempat kesembilan dengan 77 mata dan Mail Musa di kedudukan ke-10 dengan 78 mata.

JUARA…Jamirdin (kiri) dan Abas (kanan) masing-masing menerima hadiah disampaikan Datuk Raisin (kanan)
Dalam Kategori Khas Nett, Abas Saidin muncul juara selepas mencatat 77 mata, manakala Datuk Haji Raisin Saidin di tempat kedua dengan 83 mata dan Dr James Joseph ketiga dengan 85 mata.
Persaingan Kategori Invitees LTL Nett turut berlangsung sengit apabila Ramlan Taim muncul juara dengan 71 mata, diikuti Zainuddin Ibrahim (72) dan Md Ayub Jamirin (73).
Haji Azmi Ahmad menduduki tempat keempat dengan 74 mata, manakala Haji Rashid Yusop, Yusop Haji Nani dan Khasrin Yusof berkongsi tempat kelima selepas masing-masing mencatat 75 mata.
Bagi Kategori Ladies Nett pula, Siti Atikah Gim muncul juara dengan 77 mata, diikuti Datin Haji Buhaseh Sakunir di tempat kedua dengan 82 mata dan Rosalind Linus di tempat ketiga dengan 88 mata.
Doreen Kunsong melengkapkan kelompok empat terbaik dengan 90 mata.

Ramlan (baju merah) menerima hadiah disampaikan Suhilin dan Siti Atikah (kanan) menerima hadiah disampaikan Dr.Haison
Sementara itu, Dr James Joseph dan Aduka Jasnin Suman masing-masing menerima Wooden Spoon bagi Kategori LTL Nett dan Invitees LTL Nett.
Kejohanan anjuran Lawan Tetap Lawan (LTL) itu diadakan bersempena persaraan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Haji Raisin Saidin; Pegawai Pendidikan Daerah Tambunan Dr Haison Jahudin; mantan Pegawai SIP+ Pejabat Pendidikan Daerah Ranau Jamirin Sahamin; serta mantan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Waang, Mail Musa.
Terdahulu, Datuk Raisin dalam ucapan ringkasnya berkata, kejohanan berkenaan bukan sekadar menjadi medan persaingan, malah turut berperanan sebagai platform untuk meneruskan tradisi persahabatan serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga pendidik, khususnya mereka yang telah menamatkan perkhidmatan.
Menurutnya, penganjuran kejohanan dalam suasana santai itu membuktikan bahawa hubungan dan persahabatan yang terjalin sepanjang tempoh perkhidmatan dalam bidang pendidikan terus dipelihara menerusi aktiviti sukan dan rekreasi.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang serta pihak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan berkenaan.



