Aira (tiga dari kiri) juara Kata Individu Junior Wanita Asia
LABUAN: Pasukan Karate Wilayah Persekutuan Labuan mencipta sejarah apabila atlet muda negara, Nur Aneesa Aira Mohamad Affendi berjaya merangkul pingat emas Kejohanan Karate Asia pada hari pertama 24th AKF Cadet, Junior & U21 Karate Championships 2026 yang berlangsung di Amman, Jordan.
Kejayaan Aira dalam acara Kata Individu Junior Wanita sekali gus menamatkan penantian selama 34 tahun buat Labuan Karate, yang ditubuhkan pada tahun 1992, untuk melahirkan seorang juara di peringkat Asia.
Lebih manis, kejayaan ini hadir selepas Aira sebelum ini memenangi pingat gangsa pada edisi 2025 dalam kategori yang sama.
Dalam perjalanan menuju kejuaraan, Aira menewaskan wakil tuan rumah Jordan 4-1 pada pusingan pertama sebelum meneruskan aksi cemerlang dengan kemenangan 5-0 ke atas Kuwait di peringkat separuh akhir.
Dalam aksi final, Aira sekali lagi tampil yakin apabila menundukkan Chinese Taipei 4-1 untuk membawa pulang pingat emas dan bergelar Juara Junior Karate Asia 2026.
Di sebalik kejayaan bersejarah ini, turut terselit peranan seorang lagi anak Labuan, iaitu Jurulatih Kebangsaan Kata, Mohd Norfarhan Nordin.
Norfarhan yang kini menjadi antara tonggak dalam pembangunan acara Kata Malaysia turut memainkan peranan dalam membimbing serta membangunkan atlet-atlet muda negara untuk bersaing di peringkat tertinggi Asia.
Latar belakang beliau sebagai anak Labuan menjadikan kejayaan Aira satu lagi bukti kesinambungan pembangunan bakat karate dari Labuan yang kini memberi impak di peringkat kebangsaan.
Kejayaan Aira turut menambah satu lagi catatan penting dalam sejarah karate Labuan di Kejohanan Karate Asia.
Sebelum ini, Muhammad Aiqal Asmadie mencatat pencapaian dengan memenangi pingat gangsa dalam acara Kata Lelaki U21 pada tahun 2022.
Empat tahun kemudian, Aira memperbaharui pencapaian tersebut dengan menghadirkan emas pertama buat Labuan di kejohanan yang sama.
Kejohanan Asian Karate Federation (AKF) Cadet, Junior & U21 Championships 2026 menghimpunkan atlet muda dari 21 negara di seluruh Asia dan menjadi antara kejohanan penting dalam pembangunan bakat muda karate di rantau ini.
Untuk edisi kali ini, Iran menghantar delegasi terbesar dengan 41 atlet, diikuti tuan rumah Jordan dengan 40 atlet dan Chinese Taipei dengan 39 atlet.
Pada edisi terdahulu, Jepun mendominasi kejohanan dengan 19 pingat termasuk 12 emas, manakala Iran mengumpul 22 pingat dan Arab Saudi 12 pingat. Justeru, kemenangan Aira bukan sahaja mencipta sejarah untuk Labuan, malah menjadi satu pencapaian bermakna buat Malaysia dalam saingan karate peringkat Asia.
Namun, perjuangan kontinjen Malaysia di Amman masih belum berakhir.
Seorang lagi atlet dari Labuan iaitu Diya Khalish Kasryanto, akan meneruskan cabaran negara dalam acara Kumite Junior Wanita -66kg.
Kejayaan Aira menjadi pembuka tirai yang cukup bermakna dan kini, harapan diteruskan kepada Diya untuk mencipta satu lagi detik membanggakan buat Labuan dan Malaysia.



