PENGHARGAAN……..Dominik (kiri) menerima cenderahati disampaikan oleh Pengerusi Penganjur.
Oleh: Salwah Aramat & Editor
RANAU: Program Maulidur Rasul Mukim Timbua 2026 yang berlangsung di Masjid Asyarif Timbua, di sini, baru-baru ini, menjadi wadah memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, selain memperkukuh silaturahim dan keharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.
Pegawai Luar Pemantau Projek Parlimen Ranau, Dominik Kasuman, yang mewakili Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, hadir pada program berkenaan bagi memenuhi jemputan penganjur serta bersama-sama masyarakat menghayati sambutan yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan.
Beliau berkata sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar acara memperingati kelahiran Rasulullah SAW, malah menjadi kesempatan untuk masyarakat menghayati perjuangan, pengorbanan serta akhlak mulia Baginda sebagai pedoman dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, penghayatan terhadap ajaran dan sunnah Nabi Muhammad SAW perlu terus dipupuk dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda, agar nilai-nilai murni seperti kasih sayang, hormat-menghormati, amanah dan tolong-menolong terus menjadi amalan.
“Program keagamaan seperti Maulidur Rasul perlu terus dipelihara kerana ia bukan sahaja menyemai kecintaan terhadap Rasulullah SAW, malah menjadi medium menyatukan masyarakat melalui penghayatan nilai-nilai murni,” katanya.
Dominik turut menyampaikan salam dan penghargaan Jonathan kepada pihak penganjur serta seluruh masyarakat Mukim Timbua atas komitmen menjayakan program berteraskan keagamaan dan kemasyarakatan.
Beliau berkata semangat kebersamaan yang ditonjolkan menerusi majlis berkenaan wajar terus diperkukuhkan bagi memastikan masyarakat kekal bersatu, saling menghormati dan membantu antara satu sama lain.
Program bertemakan “Masjid Makmur, Komuniti Harmoni” itu turut menghimpunkan penduduk dari kawasan Mukim Timbua, sekali gus menyediakan ruang untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Penganjuran program itu diharap dapat terus menjadi platform menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW, di samping memperkukuh penghayatan terhadap ajaran Islam serta membina komuniti yang harmoni, bersatu dan saling prihatin.



