Zidane (kiri) dan Amber (kanan) bersama jurulatih Usman (dua dari kiri) dan Kashif.
Oleh: Vitalis G.Bingkasan
KOTA KINABALU: Skuad skuasy remaja Sabah mempamerkan aksi cemerlang pada Pusingan Kedua SRAM National Junior Circuit 2026 di Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David, Pulau Pinang, 25-30 Ogos lalu.
Muhammad Zidane Zicqree Zairul Anuar paling menonjol apabila dinobatkan sebagai juara kategori Lelaki Bawah 15 Tahun yang melibatkan 46 penyertaan.
Kejayaan tersebut jelas membuktikan peningkatan ketara Zidane berbanding pusingan pertama di mana beliau hanya mampu meraih tempat ketiga.
Tidak ketinggalan, Amber Kristy Muyou turut mengharumkan nama Sabah apabila dinobatkan naib juara kategori Perempuan Bawah 17 Tahun.
Pencapaian itu juga merupakan lonjakan prestasi selepas beliau menamatkan pusingan pertama di tempat ketiga.
Selain kejayaan di podium, skuad Sabah turut menyaksikan ramai pemain muda merekodkan peningkatan kedudukan memberangsangkan.
Antaranya Nur Adelia Ezzra Eddy Ezzany yang melonjak 10 anak tangga ke kedudukan ke-14, diikuti Queenelle Zoey Herry Kong yang naik ke tangga ke-12 berbanding ke-18 sebelum ini.
Yi Ling Pang Kristen turut memperbaiki kedudukan ke tangga ke-28, manakala Isaac Andy Muyou dan Emmanuel Damien Rafshan masing-masing kini berada di tangga ke-20 dan ke-33.
Turut menggalas cabaran negeri ialah Andreas Andy Herry Kong, Nathanielle Baby Herry Kong, Petricia Frananda Ak Peter, Azariah Lojiga Jude Malinggang dan Aden Tumunda Jude Malinggang.
Pendedahan di pentas kebangsaan itu diyakini menjadi pengalaman berharga buat mereka mengasah bakat.
Pencapaian tersebut memberi petanda positif terhadap keberkesanan program pembangunan skuasy di negeri ini.
Dengan pendedahan berterusan menentang pemain terbaik negara, barisan atlet muda Sabah dijangka terus mendapat suntikan semangat untuk melangkah lebih jauh dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa



