ADVERTISEMENTspot_img

Jerebu bukan sekadar isu kesihatan, kesannya turut ditanggung ekonomi dan pendidikan: Dr Norhaliza

JEREBU….gambar hiasan

MUAR: Jerebu tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai isu pencemaran udara dan kesihatan, sebaliknya perlu ditangani sebagai krisis yang turut memberi kesan besar terhadap pendidikan, produktiviti serta aktiviti ekonomi masyarakat, kata Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pagoh, Dr Norhaliza Abu Bakar.

Beliau berkata setiap episod jerebu membawa kos sosial yang sering tidak kelihatan secara langsung, termasuk gangguan persekolahan, perubahan rutin pekerjaan ibu bapa, kemerosotan perniagaan serta keperluan kerajaan menggerakkan sumber bagi menangani keadaan berkenaan.

“Yang membayar harga bukan hanya mereka yang mengalami batuk, pedih mata atau masalah pernafasan, tetapi juga anak-anak yang kehilangan waktu pembelajaran, ibu bapa yang perlu mengubah rutin kerja dan peniaga yang kehilangan pelanggan.

“Kerajaan juga perlu menggerakkan sumber untuk pemantauan, penguatkuasaan dan pengurusan krisis yang pada asasnya boleh dicegah,” katanya dalam satu pandangan mengenai isu jerebu semasa.

Krisis jerebu di Sarawak baru-baru ini menggambarkan skala kesan tersebut apabila 591 sekolah di bawah 10 Pejabat Pendidikan Daerah diarahkan tutup selama dua hari pada 20 dan 21 Ogos susulan kemerosotan kualiti udara.

Penutupan itu membabitkan 509 sekolah rendah dengan 107,590 murid dan 82 sekolah menengah melibatkan 89,733 pelajar, menjadikan keseluruhannya hampir 200,000 murid terjejas.

Menurut Dr Norhaliza, penutupan sekolah bukan sekadar bermakna murid berada di rumah, sebaliknya memberi kesan berantai kepada guru, ibu bapa dan sistem pembelajaran.

“Guru perlu menyesuaikan kaedah pengajaran, ibu bapa pula perlu menyusun semula penjagaan anak, manakala murid kehilangan sebahagian daripada interaksi sosial dan pengalaman pembelajaran secara bersemuka.

“Jika keadaan ini berlaku berulang kali, kesannya tidak lagi boleh dianggap sebagai gangguan sementara,” katanya.

Beliau berkata kesan jerebu juga melangkaui sektor pendidikan kerana aktiviti luar seperti sukan, pelancongan, pembinaan dan rekreasi berpotensi terganggu apabila kualiti udara mencapai tahap tidak sihat atau sangat tidak sihat.

Dalam pada itu, Dr Norhaliza berkata isu jerebu rentas sempadan memerlukan pendekatan lebih menyeluruh kerana pencemaran udara tidak mengenal sempadan politik.

“Jerebu bukan sekadar isu angin membawa asap. Ia berkait dengan kebakaran hutan dan tanah gambut, penggunaan tanah, cuaca kering, aktiviti manusia, penguatkuasaan serta kerjasama rentas sempadan.

“Apabila faktor-faktor ini bertembung, kesannya akhirnya dirasai oleh masyarakat di negara jiran,” katanya.

Beliau berkata tindakan Malaysia dan Indonesia memperkukuh kerjasama menangani jerebu, termasuk persediaan operasi pembenihan awan, perlu dilihat sebagai langkah penting dalam mengurangkan kesan segera pencemaran udara.

Indonesia baru-baru ini memberikan kebenaran kepada agensi Malaysia untuk memasuki ruang udaranya bagi melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan sempadan, manakala Malaysia turut menyatakan kesediaan menghulurkan aset dan kepakaran bagi membantu menangani ancaman jerebu rentas sempadan.

Namun, Dr Norhaliza menegaskan langkah mitigasi seperti pembenihan awan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian kepada punca jerebu.

“Hujan mungkin membantu membersihkan udara untuk sementara waktu, tetapi persoalan yang lebih besar ialah bagaimana kita mencegah kebakaran daripada berlaku dan memastikan penguatkuasaan dilakukan secara berterusan.

“Jika punca tidak ditangani, kita hanya akan mengulangi kitaran yang sama setiap kali musim kering tiba,” katanya.

Beliau turut menggesa Malaysia dan negara-negara ASEAN memperkukuh mekanisme pemantauan, perkongsian data, pengesanan awal serta tindakan pemadaman kebakaran bagi mengurangkan risiko jerebu rentas sempadan.

Katanya, pendekatan serantau perlu beralih daripada bersifat reaktif kepada langkah pencegahan yang lebih konsisten.

“ASEAN tidak seharusnya hanya aktif apabila jerebu sudah berlaku. Pemantauan titik panas, perkongsian data dan tindakan awal perlu dilaksanakan secara berterusan.

“Jika aktiviti pembakaran di satu kawasan memberi kesan kepada kesihatan, pendidikan dan ekonomi negara lain, maka prinsip akauntabiliti serantau perlu diberi perhatian serius,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata Malaysia juga perlu memastikan tindakan pencegahan di dalam negara diperkukuh, termasuk meningkatkan kesedaran masyarakat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.

Dr Norhaliza berkata isu jerebu tidak seharusnya dinormalisasikan sebagai fenomena bermusim yang akan hilang apabila hujan turun.

“Masalah yang berulang tidak semestinya masalah yang normal.

“Jerebu bukan sekadar asap yang mengaburi pandangan, tetapi satu peringatan bahawa kesan terhadap alam sekitar akhirnya kembali kepada manusia dalam bentuk kos kesihatan, gangguan pendidikan, kehilangan produktiviti dan tekanan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata penyelesaian jangka panjang memerlukan komitmen bersama kerajaan, masyarakat, sektor swasta serta negara-negara ASEAN supaya episod jerebu tidak terus menjadi kitaran tahunan yang akhirnya ditanggung oleh seluruh masyarakat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN