ADVERTISEMENTspot_img

Bola sepak wanita Sabah kecewa lagi

Nizam (bertopi) dan Anil (berdiri lima dari kanan di depan) bersama pasukan bola sepak wanita Sabah selepas majlis penyampaian hadiah.

OLEH: VITALIS G. BINGKASAN

SELAYANG: Sabah gagal tebus kekecewaan apabila tumpas lagi kepada Selangor 0-2 pada penentuan pingat emas  bola sepak wanita SUKMA XXII Selangor 2026 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang semalam.

Ia adalah pertemuan kedua mereka di SUKMA ini di mana pertemuan pertama pada saingan peringkat kumpulan, Sabah juga tewas 1-2.

Sabah bagaimanapun menewaskan Wilayah Persekutuan 3-0 untuk mara ke separuh akhir sebagai pasukan kedua terbaik seterusnya mengesahkan tempat ke final dengan kemenangan 1-0 ke atas Pahang pada separuh akhir.

Final semalam adalah aksi ulangan kedua-dua pasukan di mana mereka juga dipertemukan pada penentuan pingat emas SUKMA Sarawak 2024 yang keputusannya turut berpihak kepada Selangor dengan keputusan 3-1.

Semalam, Sabah cuba memberi tentangan sengit tetapi Selangor dengan kelebihan sebagai tuan rumah dan sokongan padu lebih 5,000 penyokongnya menyajikan persembahan yang memberi mereka hak sebagai pemenang pingat emas.

Bagaimanapun Selangor dipaksa berkerja keras sebelum berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-42 hasil jaringan Tegen Su Yin Butler.

Gol itu  berpunca dari kesilapan pertahanan Sabah yang gagal mengawal bola sebelum S. Tishavani merampas dan melorongkannya kepada Su Yin untuk membuat penyudah mudah, meletakkan Selangor 1-0 di hadapan pada separuh masa pertama.

Selepas rehat, Su Yin muncul wirawati Selangor apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-67 sekaligus memadamkan usaha Sabah untuk terpaksa hanya berpuas hati keluar sebagai pemenang pingat perak lagi.

Turut menyaksikan perlawanan itu ialah Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri KBSK Datuk Sri Dr Anil Sandhu dan Setiausaha Tetap KBSK Datuk Mansur Asun.

Menemui pasukan selepas perlawanan, Nizam menyeru agar pemain menjadikan kekalahan itu sebagai pembakar semangat untuk berusaha lebih gigih.

“Kalau kamu mahu jadi pemain profesional, teruskan latihan dan disiplin. Mungkin dua tahun akan datang kita boleh memperbaiki kedudukan untuk dapat emas pula,” katanya.

Nizam berkata, mengekalkan pingat perak itu juga adalah satu kejayaan kerana ia tidak diperolehi dengan mudah.  

Sambil itu, cabaran pasukan bola sepak lelaki pula berkahir di suku akhir apabila tumpas 0-1 kepada Pahang.

 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN