ADVERTISEMENTspot_img

Lelaki ditahan disyaki cederakan tiga lelaki dalam pergaduhan di Putatan

Suspek (x) yang berjaya ditahan polis

PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang disyaki terlibat dalam pergaduhan sehingga menyebabkan tiga lelaki berusia antara 35 dan 40 tahun mengalami kecederaan akibat penggunaan objek tajam di Putatan, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata kejadian berlaku kira-kira 9.30 malam ketika sekumpulan individu sedang berkumpul dan bermain karom di luar sebuah rumah di lokasi berkenaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca apabila suspek yang juga jiran mangsa melalui kawasan itu dengan menunggang motosikal dan menghasilkan bunyi enjin yang kuat.

“Teguran oleh salah seorang mangsa terhadap suspek dipercayai mencetuskan pertengkaran sebelum keadaan bertukar menjadi pergaduhan.

“Ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, dan kesemuanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sammy berkata susulan kejadian, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama Balai Polis Putatan berjaya menahan suspek kira-kira 10 malam di sebuah kawasan kampung di Putatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku secara spontan akibat salah faham dan ketidakpuasan hati suspek selepas ditegur berhubung bunyi motosikal.

“Tiada rekod perselisihan atau dendam terdahulu antara suspek dan mangsa,” katanya.

Beliau berkata polis kini meneruskan siasatan dengan mengambil keterangan beberapa saksi serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi melengkapkan kertas siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan serta nasihat lanjut.

Dalam pada itu, Sammy menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau memuat naik imej dan video berkaitan kejadian di mana-mana platform media sosial kerana tindakan itu boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN