Nordin (kiri) menerima cenderamata disampaikan Pengerusi AUR, Dr. Waidi Sinun
RANAU: Sejarah perkembangan Islam di daerah Ranau, khususnya peranan Kampung Ratau sebagai antara lokasi awal penyebaran Islam di kawasan pedalaman, diketengahkan menerusi Dialog Jejak Islam di Ranau: “Mengangkat Warisan Dakwah Kampung Ratau” yang berlangsung di Dewan Kampung Ratau, di sini, baru-baru ini.
Program anjuran bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ranau dan Persatuan AUR, dengan kerjasama strategik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Ranau serta NGO Islam daerah Ranau, itu menghimpunkan kira-kira 100 peserta terdiri daripada pemimpin masyarakat, belia, pelajar, mahasiswa, guru KAFA, imam dan jawatankuasa masjid, wakil NGO, agensi kerajaan serta masyarakat umum.
Program berkenaan menjadi wadah mempertemukan ahli akademik, tokoh agama dan masyarakat setempat bagi menelusuri sejarah perkembangan dakwah Islam di Ranau, khususnya melalui perkongsian hasil kajian, sumber bertulis serta sejarah lisan berkaitan Kampung Ratau.
Kampung Ratau sering dikaitkan dalam catatan sejarah tempatan sebagai antara pusat awal perkembangan Islam di kawasan pedalaman Ranau sekitar 1940-an hingga 1950-an, sekali gus mempunyai nilai sejarah yang signifikan dalam perkembangan Islam di daerah berkenaan.
Peranan tokoh-tokoh dakwah terdahulu turut menjadi antara aspek yang diberi perhatian, terutama sumbangan mereka dalam membuka ruang kepada perkembangan pendidikan Islam, pembentukan institusi keagamaan dan pengukuhan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat.

SESI DIALOG… Sebahagian ahli panel jemputan yang menjayakan sesi dialog, dipengerusikan ustaz Junaidi Saif (kanan)
Penganjuran dialog itu dilihat signifikan dalam usaha memastikan sejarah perkembangan Islam tempatan terus dipelihara dan tidak terpinggir, khususnya dalam kalangan generasi muda yang perlu didedahkan kepada akar sejarah serta sumbangan generasi terdahulu.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk sejarah awal perkembangan Islam di Ranau, peranan Kampung Ratau dalam gerakan dakwah, tokoh-tokoh pendakwah terdahulu, cabaran dakwah pada masa lalu dan masa kini serta keperluan mendokumentasikan sejarah Islam tempatan secara lebih tersusun dan berasaskan sumber yang sahih.
Turut diberi penekanan ialah peranan generasi muda dalam memelihara warisan dakwah serta menjadikan khazanah sejarah Islam tempatan sebagai sumber ilmu, inspirasi dan pembentukan jati diri masyarakat.
Program itu turut menampilkan slot “Islam & Pendidikan Formal sebagai Pemangkin Transformasi Generasi Dusun Islam: Pengalaman Ratau” yang disampaikan Datuk Dr Abdul Kadir Roslin.
Slot berkenaan kemudian disusuli forum “Transformasi Generasi Dusun Islam: Peranan Islam & Pendidikan Formal” yang membincangkan hubungan antara pendidikan formal, dakwah dan pembentukan generasi masyarakat Islam di Ranau.
Forum dikendalikan Tuan Haji Sunif Naiman sebagai moderator, dengan barisan panel terdiri daripada Tuan Haji Drs Rusining Rusidi, Datuk Haji Raisin Saidin dan Ustaz Junaidi Saif @ Paumat.
Majlis perasmian program disempurnakan bekas Datuk Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman, yang juga anak jati Kampung Ratau.
Kehadiran Nordin yang mempunyai hubungan erat dengan Kampung Ratau turut memberi nilai tersendiri kepada program berkenaan, khususnya dalam usaha mengangkat kembali sejarah, identiti dan warisan masyarakat setempat sebagai sebahagian daripada naratif perkembangan Islam di Ranau.
Dalam pada itu, program berkenaan turut menggalakkan usaha penyelidikan dan pendokumentasian sejarah Islam di daerah Ranau, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi, agensi agama, badan bukan kerajaan dan masyarakat.
Penganjur berharap dialog itu menjadi titik permulaan kepada usaha yang lebih tersusun untuk mengangkat, merekod dan memelihara sejarah perkembangan Islam di Ranau, termasuk meneliti sumber sejarah berkaitan Kampung Ratau secara lebih mendalam.
Usaha berkenaan penting bagi memastikan warisan dakwah yang dibangunkan generasi terdahulu bukan sahaja kekal dalam ingatan masyarakat melalui sejarah lisan, malah dapat didokumentasikan sebagai khazanah ilmu dan rujukan untuk generasi akan datang.
Selain meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai sejarah Islam tempatan, program itu diharap dapat menyemai penghargaan terhadap jasa tokoh-tokoh dakwah terdahulu serta memperkukuh kedudukan Kampung Ratau sebagai antara lokasi penting untuk penelitian sejarah perkembangan Islam di daerah Ranau



