Lelone menang emas terakhir skuad pencak silat Sabah di SUKMA XXII Selangor 2026.
Oleh: Vitalis G. Bingkasan
SUBANG JAYA: Skuad Pencak Silat Sabah mengakhiri cabarannya di SUKMA XXII Selangor 2026 dengan sumbangan satu pingat emas menerusi Lelone Romzie pada Rabu.
Lelone menang emas acara tanding Putera Kelas C (55-60kg) menumpaskan pesilat Wilayah Persekutuan, Awangku Muhammad Hazhan dengan keputusan 23-12 pada final di Dewan Seri Sarjana, UNITEN, Kajang.
Kejayaan Lelone itu menjadikan sumbangan pingat keseluruhan skuad silat Sabah kepada dua emas, dua perak dan tiga gangsa.
Satu lagi pingat emas dimenangi gandingan Manjaseerah Manuil, Sherlenna Abdullah dan Fiffy Ferlisa Rien dalam acara seni regu wanita manakala pingat perak dimenangi Roslyana Rustam (seni tunggal puteri) dan Roslan Habil (solo kreatif putera).
Pingat gangsa pula dimenangi trio Mohammad Syafwan, Muhammad Darmadiansyah dan Mohammad Nazir (seni regu putera), Mohammad Faris Hakimi (tanding putera Kelas J 90-95kg) dan Raziq Rifqi (tanding putera bawah 45kg).
Pencapaian itu gagal mencapai sasaran lima pingat emas dan gagal mengulangi pencapaian empat pingat emas di SUKMA Sarawak 2024.
“Agak kecewa juga kerana gagal capai sasaran tetapi di sebaliknya ada yang ebih penting untuk dilihat iaitu pelajaran dan pengalaman,” kata Yang Dipertua Persatuan Seni Silat PESAKA Sabah (PSS Pesaka Sabah), Datuk Alijus Sipil ketika dihubungi.
Menurutnya, dua pingat emas yang dimenangi juga membanggakan kerana mereka sebenarnya bukan sandaran utama.
“Kita gagal capai sasaran bukan hanya kerana yang jadi sandaran utama tidak berjaya tetapi kita juga melihat bahawa pesilat negeri lain juga menunjukkan peningkatan kualiti ketara.
“Sebab itu, kami akan buat `post mortem’ seterusnya merancang apa yang patut dilakukan…kami juga akan terus menggandakan usaha latihan terutama majoriti pesilat kita kali ini masih boleh beraksi pada SUKMA akan datang,” katanya.
Alijus berkata, antara pendekatan yang difikirkannya ialah mencadangkan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah agar mendapatkan jurulatih luar negara.
“Selama ini kita hanya bergantung kepada jurulatih tempatan. Mungkin sudah sampai masanya untuk kita memikirkan pendekatan baru dengan menggunakan jurulatih luar negara.
“Saya fikir, jurulatih luar sesuai adalah dari Tarakan Indonesia…saya dimaklumkan bahawa jurulatih dari Tarakan banyak bantu pesilat Indonesia berjaya di peringkat antarabangsa,” kata Alijus.
“Tarakan juga dekat dengan kita..ini juga akan memudahkan kita menghantar atlet ke sana untuk latihan dan pendedahan pertandingan,” tambahnya.



