ADVERTISEMENTspot_img

Sabah berjaya pertahan emas takraw berpasukan wanita

Skuad emas sepak takraw regu tiga pemain Sabah berjaya pertahankan pingat emas. Gambar ehsan MSN Sabah.

OLEH: VITALIS G.BINGKASAN

SUBANG JAYA: Skuad sepak takraw wanita Sabah memulakan langkah mempertahankan  semua empat gelaran juaranya di SUKMA XXII Selangor 2026 dengan meraih emas pertama dalam acara berpasukan regu tiga pemain.

Final yang berlangsung di Arena MBSJ Puchong itu menyaksikan Sabah hanya  perlu turun dua perlawanan dengan kemenangan 2-0 ke atas Perak dan kedua-duanya dimenangi secara `straight set’ untuk merangkul pingat emas.

Regu pertama Sabah yang dibarisi Fisydiana Faradona, Nedveesharny Samaan dan Suzila Parsi menang 15-13, 15-6 ke atas regu pertama Perak yang dianggotai Fariesha, Sofiya dan Fatihah.

Regu kedua Sabah (Ernawati Budin, Jumisa Ambong dan Nur Anis Alia Lair) pantas memastikan pingat emas milik Sabah dengan kemenangan 15-7, 15-7 ke atas regu kedua Perak (Atikah, Fatein dan Atiqah).

Kemenangan itu tidak memerlukan lagi regu ketiga Sabah yang dibarisi Nursyafikah Andi, Nurshazreyana Edy dan Rohaizan Roger Harun turun beraksi untuk perlawanan ketiga.

Menrut laporan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, gelaran juara regu berpasukan kali ini adalah edisi keenam berturut-turut dirangkulnya.

Cabaran skuad sepak takraw wanita selepas ini ialah mempertahankan tiga lagi pingat emas iaitu acara antara regu tiga pemain, regu dua pemain dan regu empat pemain yang turut dimenanginya di SUKMA Sarawak 2024.

Di Dewan Seri Cempaka, Saujana Impian Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pula  skuad angkat berat menang gangsa pertamanya menerusi Sharon Jastine Silas dalam acara bawah 79kg lelaki.

Dalam pada itu, tiga emas  dari lompat bergalah lelaki, triples lelaki boling padang dan regu tiga pemain sepak takraw wanita, satu perak (4x400m campuran) dan dua gangsa (angkat berat dan memanah) yang dimenangi pada Selasa menghimpun pingat keseluruhan Sabah kepada 10 emas, lima perak dan enam gangsa.

Sabah kini (petang Selasa) di kedudukan kelapan di kalangan 15 pasukan yang bertarung pada temasya sukan dwitahunan negara berkenaan.

Pasukan tuan rumah Selangor kembali bertakhta di tangga teratas dengan 22 emas, 24 perak dan 15 gangsa, diekori Johor di tangga kedua (17 emas, 20 perak dan 15 gangsa) dan Terengganu di tangga ketiga(15 emas, 22 perak dan 14 gangsa).

Temasya sukan ini  telah dirasmikan pada 15 Ogos dan akan berlangsung sehingga 24 Ogos menawarkan 468 pingat emas dari 37 jenis sukan yang dipertandingkan.

Sabah mensasarkan 40 pingat emas dari 36 sukan yang disertai.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN