ADVERTISEMENTspot_img

Sabah tewaskan Selangor untuk raih emas triples lelaki boling padang

Triples lelaki boling padang Sabah, (dari kiri) Afif, Pengurus pasukan Mohd Hafiz Firdaus, Azami dan Elldy menang emas SUKMA XXII Selangor 2026.

OLEH: VITALIS G. BINGKASAN

SUBANG JAYA: Pingat emas Triples Lelaki boling padang SUKMA XXII Selangor 2026 milik Sabah selepas menewaskan tuan rumah pada final di Kompleks Boling Padang Bayuemas, Klang dekat sini, Selasa.

Trio Sabah pada perlawanan akhir dibarisi Muhammad Afif Aiman, Nur Azami Azlie dan Elldy Maxcanzie Zosmi manakala Ezequiell Junaidh @ Junaidih sebagai pemain simpanan.

Sabah bermula cemerlang dengan mendahului empat mata namun Selangor bangkit dan memintas kedudukan di pertengahan perlawanan.

Permainan Sabah bagaimanapun kembali menjadi sehingga berjaya menyamakan kedudukan 9-9 dan tidak menoleh ke belakang lagi selepas itu untuk menamatkan pertarungan dengan kemenangan 17-13.

Presiden Persatuan Boling Padang Sabah (Bowls Sabah) Shuib Hashim berkata, kemenangan itu adalah permulaan positif buat skuad boling padang Sabah.

“Ini permulaan yang baik untuk skuad boling padang Sabah dan mudah-mudahan akan ada lagi pingat selepas ini.

“Sasaran kami adalah untuk memenangi tiga pingat emas dan kami akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai sasaran itu,” katanya..

Skuad boling padang Sabah juga mengambil bahagian  dalam acara perseorangan lelaki, beregu wanita, beregu campuran, triple wanita dan empat sepasukan lelaki.

Sementara itu, di Stadium INSPEN, Kajang, skuad memanah Sabah pula menyumbang pingat gangsa menerusi Quik Chern Xin dalam acara Recurve 70m Kelayakan Lelaki.

Quik mengumpul 656 mata untuk menduduki tempat ketiga di belakang pemanah kebangsaan Muhammad Haikal Danial dari Pahang yang meraih emas dengan 674 mata dan Wan Qayyim Syahmi dari Johor yang meraih perak dengan 659 mata.

Pada Isnin, skuad memanah menyumbang emas menerusi Catherine Looi Mei Qi  dalam acara Compound 50m Kelayakan Wanita.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN