ADVERTISEMENTspot_img

Skuad menembak akhiri 24 tahun kemarau emas

Emas…pasukan menembak lelaki (belakang) dan Nur Aina Natasya menang emas untuk  Sabah menamatkan penantian 24 tahun  pada SUKMA XXII Selangor 2026 hari ini (Isnin).

OLEH: VITALIS G. BINGKASAN

SUBANG JAYA: Skuad menembak Sabah  menamatkan 24 tahun kemarau emas dengan kejutan memenangi dua pingat emas seawal hari pertama pertandingan menembak SUKMA XXII Selangor 2026 di Lapang Sasar Negara, Subang hari ini (Isnin).

Emas pertama dijelmakan gandingan Yusezzany Jaidi, Hanson Francis Chong dan Dexter Dean Jonius dalam acara 10m Air Rifle Berpasukan Lelaki dengan catatan 1824.6 mata.

Kejayaan itu mengatasi pasukan pilihan Pahang yang meraih perak dengan 1823.2 mata manakala Perak terpaksa berpuas hati dengan gangsa (1821.1 mata).

Emas kedua pula dihadirkan Nur Aina Natasya Anderson dalam acara 10m Air Rifle Individu Wanita dengan catatan 244.8 mata.

Pingat perak dimenangi penembak Pahang Nur Auni Arissa Muhammad Azaha (244.2 mata) manakala gangsa milik Nor Alya Aqila Mahathit (Perak: 223.4 mata).

Kali terakhir Sabah menang emas menembak ialah pada ketika menjadi tuan rumah sukan dwitahunan itu pada 2002 menerusi Cynthia Leong.

Sebab itu, pengurus pasukan Jeffery Wong melahirkan rasa teruja dengan pencapaian anak buahnya.

“Kami sangat-sangat gembira dapat memenangi dua pingat emas. Kami memang ada harapan untuk menang pingat hari ini tapi apa yang kami tak jangka ialah dapat emas.

“Kami dah tunggu lebih 20 tahun dan akhirnya kami tamatkan penantian emas itu di Selangor. Saya memang tak tahu nak cakap apa sekarang,” katanya ketika dihubungi.

Wong berkata, sasaran asal kontinjen menembak Sabah ialah tiga  pingat termasuk sekurang-kurangnya satu emas.

“Sekarang kami dah ada dua emas. Sudah tentu dengan kejayaan hari ini kami boleh hadapi baki  acara dengan lebih yakin,” katanya.

Beliau menambah, harapan sebenar untuk emas sebelum ini diletakkan pada acara pistol yang dijadualkan pada Selasa.

Dalam pada itu, Wong berharap kejayaan ini dapat membantu meningkatkan pembangunan sukan menembak di negeri ini agar Sabah mampu bersaing dalam lebih banyak disiplin dengan pembelian senjata baharu pada masa hadapan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN