Catherine
OLEH: VITALIS G.BINGKASAN
SUBANG JAYA: Memanah akaun baru emas Sabah di SUKMA XXII Selangor 2026 apabila Catherine Looi Mei Qi muncul juara acara 50m Compound Individu Wanita dengan catatan 683 mata di Stadium INSPEN Kajang, dekat sini pagi ini (Isnin).
Catherine menewaskan pemanah Perak, Puteri Qaira Qistina yang meraih perak dengan 682 mata, manakala pingat gangsa milik Auni Wafiy dari Kelantan dengan 678 mata.
Seramai 42 pemanah mengambil bahagian dalam acara yang juga pembuka tirai pertandingan memanah hari ini.
Selain Catherine, tiga lagi wakil Sabah turut beraksi iaitu Raihahtul Amani yang menamatkan saingan di tempat ke-33 dengan 643 mata, diikuti Deborah Mang Wesley di tempat ke-36 (637 mata) dan Syaza Amirah Saimon di tempat ke-42 (536 mata).
Pengurus pasukan Kartini Khamis berkata, semua atlet bersemangat tinggi untuk memulakan cabaran hari ini selepas sesi latihan rasmi semalam berjalan lancar.
Pertandingan memanah diteruskan dengan beberapa pada sebelah petang (Isnin) di mana Sabah mensasarkan sekurang-kurangnya dua pemanah Compound Wanita dan Compound Lelaki akan layak ke separuh akhir Pusingan Kalah Mati Individu.
Sementara itu, beliau turut menaruh harapan tinggi pada acara berpasukan esok.
“Kami jangkakan sekurang-kurangnya satu emas lagi dari acara Recurve Berpasukan dengan kehadiran dua atlet Program Podium Malaysia kelahiran Sabah yang mewakili pasukan Recurve kali ini,” kata Kartini.



