Rem Dambul (kanan) dan Rey (kiri)
KOTA KINABALU: Bagi Prof. Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul atau lebih dikenali sebagai Rem Dambul, detik paling menggetarkan pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) bukan semata-mata mengenai siapa yang dinobatkan sebagai juara, tetapi saat bahasa Dusun bergema di pentas hiburan nasional dengan penuh yakin dan bermaruah.
Ketua Pegawai Eksekutif Institute for Development Studies (Sabah) (IDS) itu berkata, beliau merasai goosebumps luar biasa apabila pengacara AJL40 menyebut frasa “Lumangad Oku Dika” ketika mengumumkan pemenang, dengan sebutan yang menurutnya begitu fasih serta tepat dari segi makhraj dan pengucapan.
“Fuh, sungguh effortless. Lebih Dusun daripada orang Dusun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu perkongsian di laman Facebook miliknya.
Menurut Rem Dambul, bagi masyarakat Sabah, muzik tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai sebahagian daripada industri kreatif, sebaliknya menjadi ruang penting untuk menyemai dan mengukuhkan akar identiti.
“Bagi orang Sabah, muzik bukan sekadar industri kreatif. Ia merupakan tempat terbaik tumbuhnya akar identiti, yang memberi ruang kebersamaan dan rasa akrab yang saling menyatukan,” katanya.
Beliau berkata, fenomena masyarakat Sabah yang sanggup berduyun-duyun ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan AJL40 secara langsung memperlihatkan bagaimana muzik mampu merentasi sempadan etnik, budaya dan latar belakang.
“Mereka datang daripada pelbagai latar budaya dan etnik. Tapi semangat tetap satu: sokong Rey dan Marsha!” katanya.
Lebih menarik, katanya, sokongan itu bukan sekadar manifestasi kecintaan terhadap dua anak seni Sabah, tetapi turut mencerminkan kebanggaan terhadap kemampuan bakat dari negeri itu berdiri di pentas hiburan paling berprestij di Malaysia.
Rem Dambul berkata, bidang seni sememangnya mempunyai kekuatan tersendiri sebagai sumber inspirasi kerana sifatnya yang lunak, dekat dengan emosi manusia dan mampu membujuk tanpa paksaan.
“Muzik memberi rasa percaya pada diri yang selalu diperkecil. Muzik memberi sayap pada cita-cita yang mahu terbang tinggi,” katanya.
Dalam konteks AJL40, beliau melihat gema bahasa Dusun di pentas nasional sebagai sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar kebanggaan terhadap bahasa ibunda.
Katanya, ia membawa mesej universal bahawa asal-usul seseorang tidak seharusnya menjadi batasan untuk seseorang itu mengejar impian dan menempatkan dirinya di pentas tertinggi.
“Bukan saja rasa teruja sebab Bahasa Dusun bergema di pentas nasional. Tapi lebih daripada itu, ia memberi mesej universal yang jelas.
“Tidak kira di pelusuk mana kau bermula, kalau berani memanjat hingga ke puncak, tiada siapa boleh nafikan keberadaanmu di situ,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan tidak datang secara percuma dan setiap ruang yang diperoleh perlu diperjuangkan dengan keberanian, ketekunan serta kerja keras.
“Yes, nothing is given. Tetapi jika kita berani menuntut ruang kita dan bekerja keras untuk mendapat tempat yang sukar dicapai itu, kita mempunyai setiap hak untuk berdiri di situ, dilihat dan didengari,” katanya.
Bagi Rem Dambul, detik “Lumangad Oku Dika” itu akhirnya menjadi lebih daripada sekadar sebuah pengumuman pemenang.
Ia menjadi simbol bahawa bahasa, budaya dan identiti Sabah mampu berdiri megah di pentas nasional, bukan sebagai pelengkap, tetapi sebagai sebahagian daripada suara utama Malaysia.
Dan pada malam AJL40 itu, mungkin untuk beberapa saat, seluruh Sabah terasa berdiri bersama di satu pentas yang sama.



