RASMI… Datuk Rusdin menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Balai Mini Pasukan Bomba Sukarelawan Matupang Jaya.
RANAU: Penduduk Kampung Matupang dan kawasan sekitarnya bakal menikmati akses bantuan kecemasan yang lebih mudah susulan pembukaan Balai Mini Pasukan Bomba Sukarelawan Matupang Jaya pada 14 November lalu.
Balai berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman, dalam satu majlis yang menandakan usaha memperkukuh keselamatan komuniti serta meningkatkan keupayaan tindak balas kecemasan di kawasan berkenaan.
Rusdin yang juga Pengerusi Perbadanan Pinjaman Sabah berkata, penubuhan balai mini itu merupakan inisiatif penting bagi memastikan bantuan kecemasan dapat disalurkan dengan lebih pantas dan berkesan kepada penduduk setempat.
Beliau menyifatkan perasmian berkenaan sebagai satu penghormatan dan kebanggaan, selain merakamkan penghargaan kepada anggota bomba sukarelawan atas komitmen, keberanian serta pengorbanan mereka dalam melindungi nyawa dan harta benda masyarakat.
Katanya, sumbangan anggota sukarelawan bukan sekadar tertumpu kepada tugas memadam kebakaran, malah turut memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan komuniti.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Rantey Fred, menyambut baik pembukaan balai mini berkenaan yang disifatkan mampu membantu meningkatkan kecekapan perkhidmatan memadam kebakaran serta menangani kejadian kecemasan lain di kawasan sekitar.
Beliau turut menyatakan penghargaan atas usaha menyediakan kemudahan berkenaan bagi menyokong operasi pasukan sukarelawan di peringkat komuniti.
Pasukan Bomba Sukarelawan Matupang Jaya kini mempunyai seramai 20 anggota yang akan memainkan peranan penting dalam memberikan bantuan awal ketika berlaku kebakaran dan kecemasan di kawasan berkenaan.
Kewujudan balai itu juga menyediakan pangkalan operasi lebih dekat kepada penduduk, sekali gus membantu mempercepatkan mobilisasi anggota sementara menunggu bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ranau jika diperlukan.
Turut hadir ialah Ketua Zon Bomba Kudat, Penguasa Bomba Mohd Hafizrul bin Junaidi, bersama rombongan dari Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Pengerusi Pasukan Bomba Sukarelawan Matupang Jaya, Majais bin Gaisal, anggota pasukan, Ketua Kampung Matupang serta penduduk setempat.
Rusdin turut mengucapkan tahniah kepada pasukan berkenaan atas penubuhan balai mini itu dan berharap semua anggota terus memberikan khidmat dengan penuh dedikasi serta sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi kecemasan demi keselamatan masyarakat.



