Charles, Jais, Etong dan Ivy bersama sebahagian barisan jawatankuasa tertinggi CEGAH dan PPTS menunjukkan simbol CEGAH pada majlis berkenaan.
KOTA BELUD: Memperkukuh institusi keluarga, meningkatkan kesedaran mengenai kebajikan kanak-kanak serta membina masyarakat inklusif dan sejahtera menjadi fokus kerjasama Pertubuhan Mencegah Pengabaian Keluarga (CEGAH) Sabah dan Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah (PPTS) menerusi Program Memperkasakan Kebajikan Inklusif Ke Arah Masyarakat Sejahtera sempena Sambutan Bulan Kebajikan 2026.
Program yang berlangsung di Dewan Rika Raya, Kuala Abai, di sini hari ini, menghimpunkan kira-kira 250 peserta terdiri daripada ibu bapa, kanak-kanak, remaja, ahli keluarga dan masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti rekreasi, sukan serta pendidikan kekeluargaan.
Majlis perasmian program disempurnakan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis yang diwakili Pegawai Perhubungan Parlimen, Dr. Charles LRM Ebbie.
Presiden CEGAH Sabah, Etong Terang berkata penganjuran program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan institusi keluarga sebagai asas pembentukan masyarakat yang harmoni, selain memperkukuh kefahaman setiap ahli keluarga terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Beliau berkata usaha memupuk kasih sayang, mengeratkan hubungan kekeluargaan serta membina daya tahan keluarga dalam menghadapi pengaruh negatif merupakan antara pendekatan penting bagi mencegah pengabaian keluarga dan menangani masalah sosial.
Menurutnya, CEGAH ditubuhkan berasaskan keprihatinan terhadap pelbagai bentuk pengabaian dalam institusi keluarga yang sekiranya tidak ditangani pada peringkat awal, berpotensi berkembang menjadi masalah sosial lebih serius.
Sehubungan itu, pertubuhan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti keluarga yang berdepan isu pengabaian, menyediakan khidmat runding cara dan pemulihan serta membantu mereka mendapatkan sokongan sewajarnya.
Selain pendekatan intervensi, CEGAH turut melaksanakan program pencegahan dan kesedaran masyarakat bagi memperkasakan keluarga supaya dapat berfungsi dengan baik serta memainkan peranan positif dalam komuniti.

Sesi Forum yang dipengerusikan Jamrus, Naib Presiden CEGAH
Etong berkata pihaknya turut merancang pelbagai aktiviti sepanjang Sambutan Bulan Kebajikan, termasuk forum mengenai peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan dalam pembangunan sosial, ceramah berkaitan peranan dan kesejahteraan keluarga serta bengkel latihan bagi meningkatkan kemahiran ahli.
Inisiatif lain termasuk program sukan bagi menggalakkan kesihatan menyeluruh, lawatan susulan kes di seluruh Sabah serta usaha mengenal pasti kes baharu yang memerlukan perhatian dan bantuan.
Beliau berkata penglibatan badan sukarela amat penting kerana tidak semua permasalahan sosial dapat ditangani sepenuhnya oleh sektor awam, justeru NGO kebajikan perlu terus diperkasakan sebagai rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Kerjasama erat antara kerajaan dan badan sukarela penting bagi memastikan pertubuhan berkenaan mendapat kemudahan serta sokongan sewajarnya untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan, sekali gus mencapai matlamat bersama dalam memelihara kesejahteraan keluarga dan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah (PPTS), Ivy Benjamin Botingo berkata program berkenaan turut memberi penekanan kepada kepentingan penglibatan aktif keluarga dalam aktiviti kemasyarakatan serta meningkatkan kesedaran mengenai peranan sukan dalam perkembangan fizikal dan kesihatan kanak-kanak.
Beliau berkata aktiviti seumpama itu bukan sahaja menyediakan ruang kepada ibu bapa dan anak-anak untuk meluangkan masa berkualiti bersama, malah membantu mengeratkan hubungan kekeluargaan menerusi pendekatan santai dan rekreasi.
Antara pengisian program ialah senamrobik, senam tari, sukaneka kanak-kanak, aktiviti sukan remaja, pertandingan sukan keluarga serta cabutan bertuah.
PPTS turut mengadakan pameran dan hebahan maklumat mengenai perkhidmatan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) bagi memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan persekitaran asuhan dan pendidikan awal yang berkualiti, selamat serta menyokong perkembangan menyeluruh kanak-kanak.
Hadiah pertandingan dan cabutan bertuah turut disediakan dalam bentuk barangan keperluan kanak-kanak dan keluarga bagi memberikan manfaat secara langsung kepada peserta.



