ADVERTISEMENTspot_img

UMS-SPRINT SDG-ESG: DARI KAMPUS KE MASYARAKAT, MEMBINA MASA DEPAN LESTARI MELALUI PENGUKUHAN KERJASAMA UNIVERSITI DAN KOMUNITI

Pasar barang terpakai

Sumbangan Artikel: Dr.Colonius Atang, Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah

MENARA gading hari ini tidak lagi berdiri sebagai tembok akademik yang terasing daripada denyutan nadi masyarakat sekeliling. Dalam mendepani cabaran global pascanormal seperti perubahan iklim, pengurusan sisa pepejal, dan ketidaksamaan sosioekonomi, institusi pendidikan tinggi memikul peranan penting untuk mengalihkan teori bilik kuliah kepada tindakan nyata yang memberi impak di akar umbi. Menyedari mandat besar ini, Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) telah mempelopori modul khas inovatif, iaitu UMS-SPRINT: SDG- ESG (Modul Mahasiswa Prihatin UMS Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus).

Inisiatif ini menghubungkan aspirasi agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bersama tiga tonggak utama amalan beretika moden iaitu Alam Sekitar (Environmental), Sosial (Social), dan Tadbir Urus (Governance) yang digarap rapi ke dalam kursus kokurikulum berkredit universiti. Usaha kehadapan ini bukan sahaja menterjemahkan kerangka pembelajaran menghubungkan antara mahasiswa dan komuniti, malahan menjelmakan kampus UMS sebagai “Living Laboratory for Sustainable Development” demi menyokong aspirasi The BRAIN of Borneo.

Program RE:TURN, menonjolkan konsep ‘Reduce & Circularity‘ iaitu melalui  manifestasi paling berimpak daripada modul ini telah dizahirkan dengan penganjuran program RE:TURN — From Waste to Worth — UMS-SPRINT: SDG-ESG. Program ini digerakkan sepenuhnya oleh para pelajar kursus Kepimpinan dan Motivasi (Baktisiswa Seksyen 1, EK00303) Semester 1 Sesi 2026/2027 di bawah bimbingan jurulatih kursus berpengalaman, Dr. Colonius Atang, serta diterajui oleh pengarah program, Sky Broxlyne Roy Maxwill pelajar tahun pertama dari Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI). Program ini telah berlangsung pada hari Sabtu, 31 Oktober 2026, bermula jam 8:00 pagi hingga 2:30 petang, diperkarangan tempat letak kenderaan Dewan Canselor dan Laman Graduan UMS menjadi medan perhimpunan pelbagai pihak untuk menjayakan program ini. Berteraskan tema strategik “Reduce & Circularity“, Program ini dirangka khas sebagai intervensi praktikal untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa barangan terpakai hanyalah bahan buangan yang menanti saat ke tapak pelupusan. Sebaliknya, mahasiswa telah membuktikan bahawa barangan terpakai memiliki potensi nilai kitaran baharu (upscaling) yang mampu dijana semula secara berfaedah. Menggabungkan konsep Jualan But Kereta (Car Boot Sale) dan Pasar Percuma (Free Market) yang dijalankan secara serentak, kawasan kampus dibuka luas kepada komuniti luar dan warga universiti. Suasana tapak jualan dimeriahkan dengan penglibatan peniaga kecil yang menawarkan pelbagai barangan guna semula berkualiti, sekali gus memberi impak berganda terhadap penyuburan ekosistem keusahawanan hijau.

Kolaborasi Rentas Sektor

Keistimewaan program RE:TURN terletak pada jalinan hubungan strategik yang dijalin oleh mahasiswa bersama pihak luar. Melangkaui sempadan kuliah biasa, seramai 41 orang mahasiswa dari kursus Baktisiswa Seksyen 1 berjaya menyantuni kehadiran seramai lebih 76 orang peserta. Antara yang terlibat sebagai peserta ialah kumpulan pelajar dari Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK), MAHSA College, Kampus Sabah, Pelajar dari UITM Cawangan Kota Kinabalu, SM Lok Yuk, Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu (KTEKK), University College Sabah Foundation (UCSF), dan kehadiran komuniti awam dari sekitar Universiti Malaysia Sabah. Lebih bermakna, kepimpinan dan usaha mahasiswa telah berjaya menarik kerjasama pihak industri dan badan bukan kerajaan (NGO). Antaranya ialah Coway Malaysia dan Maxim bagi memperkukuh kelancaran logistik dan tarikan acara dengan menaja bakul hadiah untuk memeriahkan lagi pelaksanaan program ini.

Pada masa yang sama, dimensi pendidikan alam sekitar dimantapkan menerusi sesi ceramah interaktif bertajuk “Kelestarian Alam Sekitar” disampaikan oleh wakil pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) Taiwan Buddhist Tzu-Chi Foundation Malaysia cawangan Sabah. Perkongsian ini membuka minda masyarakat tentang tatacara pengasingan sisa isi rumah kepada bahan kitar semula dan bahan tidak boleh dikitar semula, di samping memperkenalkan teknik menghasilkan produk bernilai daripada bahan buangan. Ini secara langsung meningkatkan lagi pengetahuan masyarakat luar tentang pengurusan sisa pepejal dan pemeliharaan ekosistem.

Menghidupkan Semangat Timbal Balik: Khidmat Bakti komuniti untuk Mahasiswa

Hubungan universiti dan komuniti dalam modul UMS-SPRINT tidak dirangka sebagai transaksi satu hala. Prinsip timbal balik (reciprocity) yang menjadi teras mendekatkan universiti kepada masyarakat dizahirkan dengan penuh bermakna melalui pengisian aktiviti “Khidmat Bakti: dari Komuniti kepada Mahasiswa“. Melalui usaha ini, komuniti luar hadir menyumbang tenaga secara sukarela kepada warga kampus melalui perkhidmatan gunting rambut percuma kepada para peserta dan mahasiswa UMS. Kehadiran peserta komuniti seperti En. Johnady Kumandu menjadi bukti betapa eratnya jambatan silaturahim yang terbina antara universiti dan masyarakat akar umbi.

Menerusi perkongsian terbuka di media sosial beliau sejurus program berakhir, En. Johnady menzahirkan rasa syukur atas peluang berbakti kepada anak-anak muda kampus yang disifatkannya sebagai aset penting Malaysia. Beliau menegaskan bahawa walaupun sumbangan khidmat gunting rambut itu mungkin bukan sesuatu yang besar, namun menjadi satu kebanggaan serta motivasi peribadi untuk beliau terus berusaha menjadi insan yang lebih baik dan berguna kepada masyarakat. Malah, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jurulatih kursus kerana membuka ruang untuk beliau menyertai program sedemikian buat julung kalinya. Ungkapan beliau yang menyamakan pengalaman bergaul serta menabur bakti kepada komuniti kampus di Universiti Malaysia Sabah “seperti mendapat segulung ijazah” menjadi cerminan tulus betapa dihargainya keterbukaan UMS menerima kehadiran masyarakat seadanya.

Penyertaan NGO

Sentuhan kemanusiaan ini bukan sekadar meringankan perbelanjaan sara hidup penuntut, tetapi membuktikan bahawa komuniti luar tidak lagi diposisikan sebagai pemerhati atau sekadar subjek kajian semata-mata. Sebaliknya, mereka berperanan sebagai rakan strategik untuk bersama-sama mencurahkan bakti demi kebajikan warga kampus.

Gambar 5: Perkhidmatan gunting rambut secara percuma sebagai aktiviti timbal balik komuniti kepada mahasiswa

Mengasah Bakat Insaniah Pemimpin Masa Hadapan

Dari sudut pembangunan modal insan, kejayaan Program RE:TURN meletakkan mahasiswa sebagai peneraju perubahan sebenar. Pengendalian sebuah program kemasyarakatan dari peringkat kertas kerja, pencarian dana tajaan, pengurusan protokol, urus setia, publisiti sehinggalah kepada pengurusan kewangan menjadi medan latihan kepimpinan yang tidak ternilai. Mahasiswa mengasah kompetensi alaf ke-21 yang merangkumi (1) Kemahiran Berkomunikasi dan Perundingan iaituberinteraksi secara profesional bersama agensi kerajaan, korporat luar, dan masyarakat majmuk. (2) Keusahawanan Hijau dan Pengurusan Masa denganmenyusun atur aktiviti Car Boot Sale dan Free Market, mematuhi jadual program, dan mengurus belanjawan secara telus dan berintegriti. (3) Empati Sosial dan Kerja Berpasukan iaitumenyelami denyut nadi masyarakat serta memupuk semangat setiakawan merentas pelbagai latar belakang fakulti. Kompetensi ini secara tepat menepati matlamat pendidikan holistik untuk melahirkan graduan berdaya saing, beretika, dan peka terhadap isu kemanusiaan sejagat.

Program RE:TURN telah membuktikan bahawa modul UMS-SPRINT: SDG-ESG bukan sekadar pelengkap silibus kokurikulum berkredit, tetapi satu gerakan pembudayaan gaya hidup lestari yang kukuh. Hubungan awal yang dibina bersama NGO, pihak industri, dan agensi kerajaan ini memiliki potensi besar untuk dikembangkan ke skala yang lebih luas. Laporan pelaksanaan program ini mendokumentasikan potensi RE:TURN untuk dijadikan modul rujukan standard yang boleh direplikasi ke peringkat komuniti kampung, daerah-daerah lain di negeri Sabah, mahupun dijadikan model amalan terbaik di peringkat kebangsaan. Apabila universiti dan komuniti melangkah seiring, kelestarian bukan lagi sekadar slogan di atas kertas, tetapi menjadi jambatan kukuh untuk memperkasakan konsep simboisis antara mahasiswa dan komuniti setempat melalui keterbukaan masyarakat menyokong aktiviti dan program anjuran mahasiswa demi menjamin masa depan negara yang lebih hijau, makmur, dan berdaya tahan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN