ADVERTISEMENTspot_img

Emas olahraga dari Earl dan Samantha

Earl (kiri) dan Samantha

Oleh: Vitalis G. Bingkasan

SERDANG: Earl Isaac Mitzler Fredolin dan Samantha Mae Godfrey Binting letakkan skuad olahraga di depan sebagai penyumbang pingat emas setakat ini dengan sumbangan dua emas untuk Sabah pada SUKMA XXII Selangor 2026.

Earl Isaac muncul jaguh lontar peluru lelaki dengan catatan lontaran 15.11m di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini (Ahad).

Lontaran emas itu meninggalkan pingat perak dan gangsa untuk dua peserta Sarawak, Jorez Huang Yin Jun (14.94m) dan Hii Seng Yan (13.94m).

Tidak lama selepas itu, Samantha kemudiannya menggandakan emas olahraga Sabah dengan menjuarai acara lompat tinggi bergalah wanita.

Samantha sempat mencemaskan apabila perlu mengharungi  percubaan kedua untuk melepasi lompatan setinggi 3.30m tetapi selepas itu beliau tampil dengan keyakinan.

Tiada masalah melepasi ketinggian 3.40m, Samantha kemudian melepasi ketinggian 3.45m untuk mengesahkan pingat emas miliknya.

Pingat perak dimenangi peserta tuan rumah Selangor, Syafiqah Mohd Azril Ikram dengan catatan lompatan 3.40m manakala pingat gangsa dimenangi  peserta Pahang, Noor Shahreena Jamizan dengan catatan 3.35m.

Samantha yang juga atlet program pelapis kebangsaan membayangkan sasaran melepasi lompatan setinggi 3.60m untuk layak ke Sukan SEA tahun depan.

Dua pingat emas dari olahraga itu menyaksikan Sabah setakat ini mengumpul tiga emas, dua perak dan empat gangsa untuk berada di kedudukan kesembilan di kalangan 15 pasukan.

Satu lagi pingat emas di menangi regu silat wanita dalam acara silat seni regu wanita  menerusi gandingan Manjaseerah Manuil, Sherleena Abdullah dan Fiffy Ferlissa yang juga pingat emas sulung Sabah di SUKMA XXII Selangor 2026 yang dicatatkan pagi  ini (Ahad).

Hari ini (Ahad) skuad silat juga sumbang dua pingat perak menerusi Roslyana Rustam (Seni Silat Tunggal Wanita) dan Roslan Habil (Seni Silat Tunggal Lelaki) di samping satu pingat gangsa daripada regu lelaki dalam acara seni silat regu yang dimenangi pada Sabtu.

Tiga lagi gangsa dimenangi Brenjen Bob Jacob dalam acara berbasikal Downhill Individu Lelaki pada Jumaat manakala skuad judo menang dua menerusi Nadher Chan Yie Pah dalam kategori bawah 66kg lelaki pada Sabtu dan Nathan Zeke Augustin (bawah 90kg) hari ini (Ahad).

Pertandingan SUKMA akan berlangsung sehingga 24 Ogos melibat 37 jenis sukan di mana Sabah mengambil bahagian dalam 36 daripadanya.

Mendahului tiga tangga teratas carta kutipan pingat setakat ini  (jam 5.30 petang Ahad) ialah pasukan tuan rumah Selangor dengan 11 emas, lapan perak dan tujuh gangsa diikuti Terengganu (9e, 15p, 5g) dan Wilayah Persekutuan (7e, 8p, 6g).

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN