Regu silat wanita yang dianggotai (dari kiri) Manjaseerah, Fiffy dan Sherlenna sumbang emas SUKMA pertama Sabah.
Oleh: Vitalis G.Bingkasan
KAJANG: Regu silat wanita pancarkan kilauan emas pertama Sabah pada SUKMA XXII SELANGOR 2026 di Dewan Seri Sarjana UNITEN di sini pagi ini.
Regu yang dibarisi Manjaseerah Manuil, Sherlenna Abdullah dan Fiffy Ferlisa Rien mempamerkan persembahan jitu menewaskan regu Johor pada final Silat Seni Regu Wanita dengan keputusan catatan mata 9.920-9.905.
Sherlenna berkata, kejayaan itu sangat menggembirakan kerana bukan hanya merupakan pingat emas pertama Sabah tetapi juga menebus kekalahan di SUKMA Sarawak dua tahun lalu.
“Di SUKMA Sarawak kami tewas kerana protes lawan… kali ini semuanya lancar dan kami dapat semula apa yang terlepas di Sarawak dua tahun lalu,” katanya.
Ia meletakkan skuad pencak silat sebagai antara penyumbang utama pingat setakat ini dengan satu emas, dua perak dan satu gangsa setakat ini.
Bertanding serentak dengan acara regu di gelanggang sebelah, Roslyana Rustam menang pingat perak acara Seni Silat Tunggal Wanita.
Roslyana terlepas pingat emas apabila markahnya dipintas pesilat Selangor selepas berlaku bantahan.
Selepas itu, giliran Roslan Habil pula sumbang pingat perak. Beliau juga terlepas pingat emas selepas tumpas kepada Muhamad Azeem Daniel (Wilayah Persekutuan) 9.895-9.900.
Pada Sabtu, skuad silat juga sumbang satu gangsa menerusi Regu Lelaki dalam acara Seni Silat Regu Lelaki.
Skuad silat akan terus menjadi sandaran pingat menerusi pertandingan tempur yang masih berlangsung.
Turut memberi sokongan dan menyaksikan pesilat-pesilat bertanding ialah Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Setiausaha Tetap KBSK merangkap Chef de Mission kontinjen Sabah Datuk Mansur Asun dan Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Negeri Sabah (PSS PESAKA Sabah) Datuk Alijus Sipil.



