Ruddy (dua dari kanan) bersama Howard (kanan sekali) dan wakil Stesen Petronas secara simbolik melekat Jalur Gemilang pada sebuah kereta yang singgah di Stesen Petronas Jalan Tun Mustapha.
LABUAN:Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Wilayah Persekutuan Labuan mengedarkan lebih 200 Jaur Gemilang pelekat magnet sempena Program Ekspedisi Jalur Gemilang JAPEN@PETRONAS.
Program yang dilaksanakan pada Ahad lalu itu melibatkan 15 stesen minyak terpilih yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara.
Di Labuan Stesen Petronas Jalan Tun Mustapha menjadi lokasi program tersebut.
Majlis simbolik penyerahan Jalur Gemilang disempurnakan oleh Pengarah JAPEN Wilayah Persekutuan Labuan, Ruddyansjah Mahtar Hams.
Ketika ditemui pemberita, Ruddy berkata, program yang dilaksanakan serentak di seluruh negara itu merupakan sebahagian daripada usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan serta mempergiat pelaksanaan Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang (1R1JG).
Menurut beliau lagi, inisiatif ini juga bertujuan menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan sebagai lambang semangat patriotik, perpaduan dan cinta akan negara.
“Lebih 200 Jalur Gemilang dalam bentuk pelekat magnet diedarkan secara percuma untuk pengguna kenderaan.
“Jalur Gemilang dalam bentuk magnet ini lebih selamat dan mudah dialihkan ketika kita melekat di kenderaan dan ia tidak mudah terbang yang boleh membahayakan pemandu lain”, katanya.
Ruddy berkata, penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen erat antara sektor awam dan korporat dalam menyokong agenda kenegaraan, penyampaian mesej patriotisme dan semangat cintakan negara kepada masyarakat.
Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Howard Martin Kim Sung @Cornileus dan wakil PETRONAS.



