ADVERTISEMENTspot_img

2YEP Siri 2 perkasa klien kebajikan Sabah bina kehidupan lebih baik.

Peserta mendengar taklimat awal disampaikan penyedia kursus


KOTA KINABALU: Program 2 Years Exit Programme (2YEP) terus memperkukuh usaha Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JKM) Sabah melahirkan klien yang lebih berdikari menerusi pendekatan pembangunan kapasiti, bimbingan keusahawanan dan sokongan modal.

Siri kedua bengkel 2YEP yang berlangsung dari 11 hingga 13 Ogos 2026 di Kota Kinabalu melibatkan 16 peserta daripada pelbagai latar belakang dan daerah di Sabah, dengan fokus membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran keusahawanan serta membuka ruang kepada peserta menjana pendapatan secara lebih mampan.

Program itu merupakan kesinambungan Siri Pertama yang berlangsung dari 4 hingga 6 Ogos lepas di Kota Kinabalu, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan klien kebajikan untuk beralih daripada kebergantungan kepada bantuan kepada kehidupan yang lebih produktif dan berdikari.

Penyelaras 2YEP Negeri Sabah dari Bahagian Kebajikan Produktif dan Komuniti JKM Sabah, Encik Awang Razali bin Abdullah, turut bersama peserta sepanjang bengkel bagi memantau pelaksanaan program serta memastikan pengisian yang disampaikan dapat difahami dan diaplikasikan dalam kehidupan serta aktiviti perniagaan peserta.

Menurut beliau, konsep 2YEP berteraskan tiga komponen utama iaitu latihan, bimbingan dan pemantauan, selain sokongan bantuan modal bagi membantu peserta membangunkan aktiviti ekonomi masing-masing.

“Pendekatan ini bukan sekadar memberikan latihan, tetapi turut menyediakan bimbingan dan pemantauan secara berterusan supaya peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam perniagaan dan seterusnya meningkatkan pendapatan,” katanya.

Dalam aspek latihan, penyedia latihan APEX memberikan pendedahan berkaitan pemerkasaan dan transformasi minda yang merangkumi motivasi dan muhasabah diri, pengurusan kewangan dan keluarga sejahtera serta pembentukan minda usahawan.

Peserta turut diberi pendedahan mengenai asas perniagaan dan pemasaran digital, termasuk pengenalan kepada perniagaan dan Kanvas Model Perniagaan, pengekosan produk atau perkhidmatan, analisis kos, volum dan untung serta asas perakaunan perniagaan.

Aspek pemasaran dan pemasaran digital turut diberi penekanan, selain pengetahuan berkaitan pendaftaran dan pelesenan perniagaan bagi membantu peserta mengurus perniagaan secara lebih tersusun dan mematuhi keperluan berkaitan.

Program itu turut mengetengahkan modul keusahawanan sosial yang meliputi pendedahan mengenai cukai dan pelepasan cukai serta pengenalan kepada konsep keusahawanan sosial.

Bagi memastikan peserta tidak terhenti pada peringkat latihan, setiap peserta akan menerima bimbingan secara bersemuka menerusi pendekatan coaching sekurang-kurangnya dua kali dalam tempoh lapan bulan oleh mentor daripada penyedia latihan.

Sepanjang tempoh berkenaan, peserta akan dipantau, dinilai dan dibimbing mengikut keperluan perniagaan masing-masing, khususnya dalam usaha meningkatkan jualan dan pendapatan.

Bimbingan meliputi aspek amali latihan, pengurusan produk atau perkhidmatan serta strategi pemasaran termasuk penggunaan platform digital bagi membantu peserta memperluas pasaran dan meningkatkan daya saing perniagaan.

Peserta juga digalakkan terlibat secara aktif dalam aktiviti menjana pendapatan menerusi bidang perniagaan dan keusahawanan dengan bimbingan usahawan berjaya atau individu yang mempunyai kelayakan serta pengalaman dalam bidang berkaitan.

Pendekatan 2YEP itu mencerminkan usaha JKM Sabah memperkukuh intervensi kebajikan menerusi pembangunan kapasiti dan pemerkasaan ekonomi, dengan matlamat membantu klien membina sumber pendapatan sendiri serta mencapai tahap kehidupan yang lebih berdikari dan mampan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN