Masidi menerima cenderahati oleh Mohd Salleh (lapan dari kanan) dalam kunjungan tersebut.
KOTA KINABALU: Pengurusan yang baik, tadbir urus kukuh serta keupayaan menyesuaikan strategi perniagaan dengan perkembangan semasa penting bagi memastikan gerakan koperasi terus berdaya saing dan memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan berkata gerakan koperasi memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang ekonomi kepada masyarakat, khususnya menerusi aktiviti perniagaan yang mampu menjana pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan anggota.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menyokong dan memperkasakan gerakan koperasi sebagai salah satu pemangkin pembangunan ekonomi negeri, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menekankan pertumbuhan ekonomi lebih inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Koperasi Green Sabah Berhad yang diketuai Pengerusinya Datuk Mohd Salleh Abbas bersama rombongan di pejabatnya di sini.
Masidi turut memuji peranan dan sumbangan koperasi berkenaan dalam mengembangkan kegiatan ekonomi serta meningkatkan taraf sosioekonomi anggotanya, selain keupayaan meneroka dan mempelbagaikan bidang perniagaan.
Beliau berkata Koperasi Green Sabah Berhad mempunyai pengalaman luas dalam gerakan koperasi sejak ditubuhkan pada 1959, selain membuktikan keupayaan untuk terus berkembang dan menyesuaikan pendekatan perniagaannya dengan perubahan landskap ekonomi semasa.
“Keupayaan untuk mempelbagaikan kegiatan perniagaan dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa wajar dijadikan contoh oleh koperasi lain di Sabah, khususnya dalam usaha mengenal pasti bidang yang mempunyai potensi pertumbuhan,” katanya.
Dalam kunjungan itu, Masidi turut diberi taklimat mengenai perkembangan semasa, aktiviti perniagaan serta perancangan Koperasi Green Sabah Berhad.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kunjungan berkenaan dan berharap hubungan serta kerjasama antara Kerajaan Negeri dan koperasi itu dapat terus diperkasa, khususnya dalam menyokong pembangunan ekonomi serta memperluas peluang ekonomi kepada masyarakat di Sabah.



