ADVERTISEMENTspot_img

Norfadzlina sokong seruan Ewon kepada SPR mengenai mekanisme pengundian

KOTA KINABALU: Perwakilan Beluran, Norfadzlina Ramsah, menyambut baik seruan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji dan memperkenalkan mekanisme bagi memudahkan rakyat Sabah yang bekerja di Sarawak dan Semenanjung mengambil bahagian dalam pilihan raya di negeri ini tanpa perlu pulang ke sini.

Norfadzlina yang juga Ketua CLC UPKO Labuk berkata, cadangan itu wajar bagi memastikan hak rakyat untuk mengundi tidak terhalang hanya disebabkan jarak dan kos perjalanan.

“Ini merupakan pandangan peribadi saya sebagai Ketua CLC UPKO Labuk. Saya menyambut baik seruan Datuk Ewon Benedick dalam ucapan dasar beliau pada 10 Ogos 2026 agar SPR mengkaji dan memperkenalkan satu mekanisme yang membolehkan rakyat Sabah yang bekerja di Sarawak dan Semenanjung mengambil bahagian dalam proses pengundian tanpa perlu pulang ke Sabah.

“Pada masa yang sama, kemudahan yang sama wajar dipertimbangkan untuk rakyat Sarawak dan Semenanjung yang bekerja di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hak mengundi adalah hak setiap rakyat Malaysia dan tidak seharusnya terhalang hanya kerana berada jauh dari lokasi tempat mengundi.

Katanya, kos perjalanan yang tinggi untuk pulang mengundi boleh menjadi beban kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, pekerja muda, ibu tunggal, keluarga yang mempunyai anak kecil dan mereka yang bekerja sendiri.

“Ramai anak-anak Sabah berhijrah ke Semenanjung dan Sarawak untuk mencari pekerjaan, membina kerjaya dan meningkatkan taraf kehidupan keluarga.

“Ada yang bekerja bertahun-tahun di luar Sabah tetapi masih mempunyai keluarga, tanah, rumah dan akar kehidupan di negeri ini. Mereka mungkin jauh secara fizikal, tetapi hak mereka untuk menentukan masa depan kawasan asal mereka tetap ada,” katanya.

Norfadzlina berkata, kos penerbangan dari Sabah ke Semenanjung atau Sarawak bukan kecil, selain kos pengangkutan, makanan, penginapan serta cuti kerja yang perlu ditanggung bagi mereka yang mahu pulang mengundi.

Menurutnya, faktor geografi Sabah juga perlu diambil kira kerana jarak perjalanan yang jauh menyebabkan kos pengangkutan lebih tinggi berbanding perjalanan antara negeri di Semenanjung.

“Sabah bukan kecil. Saya gabungkan keluasan tiga negeri iaitu Perlis, Melaka dan Pulau Pinang, masih jauh untuk mengejar keluasan Beluran.

“Manakala jarak rentas perjalanan dari Kota Kinabalu ke Beluran sekitar 280 hingga 300 kilometer, menyamai perjalanan rentas empat negeri dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan pendigitalan pengundian atau mekanisme pengundian alternatif yang selamat, telus dan boleh dipercayai wajar diberikan perhatian serius oleh SPR.

Katanya, perkara itu tidak seharusnya dilihat sebagai usaha memudahkan mana-mana parti politik, sebaliknya sebagai langkah memudahkan rakyat melaksanakan hak demokrasi mereka.

“Sistem yang baik seharusnya tidak memihak kepada mana-mana parti atau calon. Ia mesti menjamin bahawa setiap rakyat yang layak mengundi dapat melaksanakan hak tersebut dengan mudah, selamat dan bebas,” katanya.

Norazlina berkata, perkembangan teknologi dalam pelbagai urusan kehidupan hari ini juga membuka ruang untuk perbincangan mengenai penggunaan teknologi bagi memperkukuhkan sistem demokrasi negara.

“Kita sudah hidup dalam dunia yang semakin digital. Urusan perbankan, pembayaran, perkhidmatan kerajaan, perniagaan dan komunikasi semuanya semakin bergantung kepada teknologi.

“Maka sudah tiba masanya kita juga berani membuka perbincangan mengenai bagaimana teknologi boleh digunakan untuk memperkukuhkan demokrasi,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu mungkin tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh pada peringkat awal, namun perbincangan dan kajian mengenainya perlu dimulakan.

Norazlina berkata, seruan Ewon itu perlu diberikan perhatian serius kerana ia bukan hanya berkaitan Sabah, tetapi turut menyentuh usaha membina sistem demokrasi yang lebih inklusif, moden dan mudah dicapai rakyat.

“Sebagai Ketua CLC UPKO Labuk, pendirian saya jelas. Kalau rakyat mempunyai hak untuk memilih, maka kita juga harus berusaha memastikan mereka mempunyai peluang yang munasabah untuk menggunakan hak tersebut,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN