ADVERTISEMENTspot_img

Penghantar makanan berdepan cabaran, risiko keselamatan di jalan raya

TERBAIK……..Ridzhan (tiga dari depan) merakam gambar kenangan bersama rakan-rakan setugasnya.

Oleh: Salwah Aramat & Editor

RANAU: Menjadi penghantar makanan bukan sekadar memastikan pesanan pelanggan sampai dalam tempoh ditetapkan, malah tugas itu menuntut ketahanan fizikal, kesabaran dan tahap kewaspadaan tinggi ketika berdepan pelbagai risiko di jalan raya.

Bagi Ridzhan Milin, petugas Foodpanda yang berasal dari Kampung Togudon Lama di sini, tugas menghantar makanan di sekitar Pekan Ranau mempunyai cabaran dan risiko tersendiri, terutama ketika keadaan cuaca tidak menentu.

Beliau berkata sebagai penghantar makanan, pergerakannya banyak bergantung kepada keadaan jalan raya dan cuaca kerana perlu bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain bagi memastikan pesanan pelanggan dihantar mengikut tempoh ditetapkan.

“Antara cabaran utama ialah terpaksa meredah hujan ketika menjalankan tugasan. Dalam keadaan seperti itu, kita perlu lebih berhati-hati kerana keadaan jalan boleh berubah dan menjadi licin,” katanya.

Menurut Ridzhan, keadaan jalan yang rosak serta sistem perparitan yang kurang sempurna di sesetengah kawasan turut meningkatkan risiko kepada penunggang motosikal, khususnya ketika hujan.

Katanya, kewujudan haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran di beberapa kawasan juga boleh membahayakan pengguna jalan raya apabila haiwan berkenaan tiba-tiba melintas atau menghalang laluan.

“Selain itu, ada juga anjing milik segelintir penduduk yang agak garang. Ada yang hanya menyalak, tetapi terdapat juga anjing yang mengejar penunggang motosikal dan keadaan itu boleh mengundang bahaya sekiranya penunggang hilang kawalan,” katanya.

Sehubungan itu, Ridzhan menasihatkan semua pengguna jalan raya, khususnya rakan-rakan penghantar makanan, supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan tidak mengambil mudah keadaan di sekeliling ketika menunggang.

Beliau berkata sikap berhemah, kewaspadaan dan mematuhi peraturan jalan raya amat penting bagi mengurangkan risiko kemalangan, terutama dalam kalangan penunggang motosikal yang sentiasa terdedah kepada pelbagai bahaya ketika menjalankan tugas.

“Walaupun kita mahu memastikan pesanan sampai tepat pada masanya, keselamatan diri tetap perlu menjadi keutamaan. Jangan kerana mengejar masa, kita mengambil risiko yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN