Mohd Rafi bersama Generasi -Z yang hadir pada program tersebut.
LABUAN:Program Santai Gen-Z yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Labuan memberi ruang golongan anak muda berinteraksi secara bersemuka bersama pemimpin politik.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata, kehadiran golongan anak muda yang disifatkanya luar biasa membuktikan mereka mahu mendekati pemimpin politik untuk berkongsi idea, pandangan serta suara mereka didengar dan diangkat.
“Saya amat teruja dengan kehadiran mereka yang cukup bersahaja dan ini sebenarnya telah memberi impak yang cukup bermakna kerana mereka secara langsung dapat berinteraksi secara bersemuka berkongsi idea dan pandangan, selain menyuarakan keinginan mereka untuk melihat Labuan menjadi syurga kedamaian serta dapat menjamin kehidupan mereka yang lebih stabil pada masa depan”, katanya selepas meraikan golongan yang lebih dikenali sebagai generasi Z yang diadakan di Palm Beach and Spa Manikar Resort di sini pada Sabtu.
Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan menyedari kehidupan sebahagian anak muda memerlukan lebih banyak ruang untuk bersuara, berkarya, memimpin, dan membina masa depan dan menjadi pemimpin yang berkeliber untuk negara.
“Kita juga tidak mahu anak-anak muda Labuan hanya menjadi penonton kepada pembangunan di negeri sendiri.
“Impian saya adalah untuk melihat lebih ramai anak Labuan diberi ruang untuk menjadi pemimpin, usahawan, profesional dan penggerak komuniti sekaligus membawa Labuan ke arah yang lebih baik,”katanya.



