Amsyar Syafiq (kiri) bersama peserta Ekspedisi Gunung Kinabalu 2026 di Pondok Timpohon.
KUNDASANG: 10 peserta Ekspedisi Gunung Kinabalu 2026 yang dianjurkan oleh Staf Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu.
Pendakian yang diketuai oleh Amsyar Syafiq Amir Lamja yang juga Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Labuan berjaya membawa sembilan peserta yang terdiri tiga staf JPN Labuan, dua staf JPN dari Sarawak, dua staf Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan seorang staf dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan JKKP) serta dua lagi merupakan pelajar sekolah.
Menurut Amsyar Syafiq, ekspedisi pendakian bermula pada 31 Julai menggunakan laluan Timpohon menuju ke Panalaban, sebelum diteruskan dengan misi mendaki ke puncak pada awal pagi 1 Ogos 2026.
Katanya, ekspedisi tersebut bertujuan mencabar ketahanan mental dan fizikal diri setiap peserta, selain menguji semangat berpasukan, disiplin serta kecekalan dalam menghadapi cabaran pendakian.
“Kami mula bergerak menuju ke puncak seawal pukul 2.38 pagi dalam keadaan cuaca yang mencabar serta suhu yang rendah.

Dua staf Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Farizah (kanan) dan Noor Lailinna teruja menawan puncak Gunung Kinabalu.
“Perjalanan menuju ke puncak memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi kerana peserta perlu melalui laluan berbatu, keadaan gelap serta cabaran cuaca sebelum tiba di puncak”, katanya.
Beliau berkata, peserta paling awal tiba ialah Muhamad Wafiq Qusyairi Amsyar Syafiq, berusia 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan Bukit Kalam yang berjaya sampai ke puncak pada pukul 5.40 pagi bersama Zickyzurich Anak Rahman serta diiringi oleh jurupandu gunung.
10 peserta yang menyertai Ekspedisi Gunung Kinabalu 2026 itu ialah Farizah Ismail dan Noor Lailina Abidin (UMSKAL), Muhamad Wafiq Qusyairi Amsyar Syafiq (SK Bukit Kalam), Nur Wafiqah Qusyairah Amsyar Syafiq (SMK Pantai),Rohani Yusup, Jusiana Lutimin dan Amsyar Syafiq Amir Lamja (JPN Labuan), Arifful Azwar Jumat dan Zickyzurich Anak Rahman (JPN Sarawak) dan Wan Fazrina Matenoh (JKKP Labuan).



