PRIHATIN……..Datuk Jonathan Yasin (tengah) menyertai program gotong-royong membongkar rumah kediaman Jamry bersama AJK Group Mitatabang di Kg. Matupang Ranau.
Oleh: Salwah Aramat & Editor
RANAU: Semangat gotong-royong terus menjadi amalan masyarakat luar bandar apabila seramai 47 penduduk Kampung Matupang berganding bahu membantu membongkar sebuah rumah yang terjejas akibat pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, di sini, baru-baru ini.
Program itu diadakan bagi membantu proses pembongkaran rumah milik Pengerusi Group Mitatabang, Jamry Jaharin, yang terpaksa dikosongkan bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi berkenaan.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, turut hadir menyertai kerja-kerja pembongkaran bersama penduduk kampung sebagai tanda sokongan kepada komuniti yang terjejas.
Menurut Jamry, sebanyak 12 lagi rumah di Kampung Matupang akan dibongkar dalam masa terdekat kerana terlibat dengan jajaran Lebuhraya Pan Borneo.
Beliau berkata usaha gotong-royong memindahkan dan membongkar rumah penduduk telah bermula sejak 18 Mei lalu menerusi kerjasama erat penduduk kampung.
Sementara itu, Jonathan berkata beliau memahami pengorbanan yang perlu dilakukan oleh penduduk yang terpaksa berpindah demi menjayakan projek pembangunan negara.
Beliau berkata kebajikan dan hak penduduk yang terjejas akan terus diberi perhatian, termasuk memastikan urusan pemindahan serta pampasan dilaksanakan secara adil, telus dan mengikut peraturan yang ditetapkan.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada Group Mitatabang bagi menyokong pelaksanaan program kemasyarakatan sebelum mengumumkan peruntukan tambahan RM5,000 bagi memperkukuh aktiviti gotong-royong dan kebajikan komuniti pada masa hadapan.
Program berkenaan bukan sahaja mempercepatkan proses pembongkaran rumah yang terjejas, malah menjadi simbol perpaduan apabila penduduk tanpa mengira usia berganding bahu membantu antara satu sama lain dalam menghadapi perubahan yang dibawa oleh pembangunan.
Penduduk Kampung Matupang turut menzahirkan penghargaan kepada Jonathan atas kesediaan beliau turun padang serta menyalurkan bantuan kewangan kepada komuniti, sambil berharap proses melibatkan baki rumah yang terjejas dapat diselesaikan dengan lancar.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Group Mitatabang, Rutimin Seniun, barisan Ahli Jawatankuasa Group Mitatabang serta penduduk kampung.



