Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Kerja-kerja pemasangan Bailey Bridge di lokasi jambatan rosak di KM2.85 Jalan Tun Fuad Stephen (Tanjung Lipat) sedang giat dilaksanakan sebagai langkah segera memulihkan laluan dan memastikan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, pemasangan jambatan sementara itu dilaksanakan menerusi Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sementara penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.
Beliau berkata, berdasarkan perkembangan semasa di tapak, proses pemasangan Bailey Bridge dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu untuk disiapkan, tertakluk kepada keadaan cuaca serta faktor teknikal di lokasi.
“Jambatan sementara ini merupakan langkah segera bagi memulihkan semula laluan serta memastikan pergerakan pengguna jalan raya lebih lancar, selesa dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar terus bersabar selain mematuhi semua arahan serta papan tanda keselamatan yang disediakan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja.
Joachim berkata KKRU dan JKR Sabah komited memastikan kerja-kerja pemasangan Bailey Bridge disiapkan secepat mungkin bagi menjamin keselamatan dan kemudahan semua pengguna jalan raya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas kerjasama dan kesabaran orang ramai serta memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi sepanjang tempoh pelaksanaan kerja.
.



