Pasukan Relay 4x200m KM P12
KOTA MARUDU: Sekolah Rendah Advent (SRA) Damai membuktikan bahawa kekangan dari segi saiz sekolah dan kemudahan bukan penghalang untuk melakar kejayaan apabila mencipta sejarah meraih pingat sulung pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSS Sabah) Kali Ke-58 di Kompleks Sukan Ranau, baru-baru ini.
Sekolah itu membawa pulang satu pingat perak dan satu pingat gangsa hasil penyertaan tiga atletnya, sekali gus menandakan pencapaian terbaik sejak mula menyertai kejohanan olahraga peringkat negeri berkenaan.
Kejayaan tersebut dilakar menerusi Lyea Eleazera Ricky Reno, Nadrah Seayon binti Nelvicoly dan Anseanberly Saining, yang turut mencatat sejarah sebagai kontinjen terbesar pernah dihantar oleh SRA Damai ke MSS Sabah.
Pingat perak diraih menerusi acara lari berganti-ganti 4×200 meter Perempuan Bawah 12 Tahun (P12) hasil gandingan Lyea dan Nadrah bersama Arsealy Ann Scarlet Jaidi dari SK Lampada serta Rynna Nasir dari SK Tagibang. Kuartet itu turut menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara 4×100 meter.
Lyea kemudian menambah koleksi pingat sekolah apabila meraih gangsa dalam acara lompat jauh P12, manakala Anseanberly turut mempamerkan prestasi membanggakan apabila menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara 100 meter dan 200 meter.
Penyertaan kali ini merupakan penampilan kelima atlet SRA Damai di pentas MSS Sabah, namun menjadi yang paling bermakna apabila berjaya menamatkan penantian sekolah untuk meraih pingat pertama dalam kejohanan berprestij itu.
Kejayaan tersebut disifatkan sebagai hasil perancangan pembangunan sukan yang lebih tersusun selepas penubuhan Damai Athletics Club (Damai AC) pada 2024, yang menjadi platform melaksanakan latihan secara sistematik, pemantauan berterusan serta pembangunan bakat atlet muda.
Usaha itu turut membuahkan hasil di peringkat kebangsaan apabila Nadrah berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bagi acara merentas desa yang berlangsung di Labuan pada April lalu, sekali gus membuktikan atlet SRA Damai berupaya bersaing di pentas lebih tinggi.
Selaras dengan falsafah pendidikan Adventist yang menitikberatkan pembangunan insan secara menyeluruh, SRA Damai terus memberi penekanan kepada keseimbangan antara kecemerlangan akademik, pembangunan sahsiah, disiplin, kesihatan, kepimpinan dan nilai kerohanian dalam melahirkan murid yang holistik.
Pihak sekolah turut merakamkan penghargaan kepada semua atlet, jurulatih, guru, ibu bapa dan warga sekolah atas komitmen serta sokongan yang menjadi pemangkin kepada kejayaan bersejarah itu.
Kejayaan di Ranau bukan sekadar menambah koleksi pingat, malah menjadi bukti bahawa sekolah kecil di luar bandar juga mampu mencipta impak besar dalam arena sukan negeri apabila disokong perancangan yang rapi, komitmen tinggi dan semangat yang tidak pernah luntur.



