Hajiji (tengah) tiba di DUN Sabah diiringi Kadzim (dua dari kanan), Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainuddin Aman (kanan) serta Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim (dua dari kiri).
KOTA KINABALU : Sebanyak tiga Rang Undang-undang (RUU) diluluskan pada hari ketiga Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ketujuh belas di sini, pada Rabu.
RUU berkenaan ialah RUU Pewarisan Orang Islam 2026, RUU Mahkamah Anak Negeri 2026 dan RUU Lembaga Pelabuhan-pelabuhan Sabah (Pindaan) 2026.
RUU Pewarisan Orang Islam 2026 dibentangkan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif yang melibatkan lima pembahas antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin @ Musidi Riman.
Selain itu, ADUN Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir, ADUN Bugaya, Jamil Datuk Hamzah dan ADUN Dilantik, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi, ADUN Sungai Sibuga, Nurulalsah Hassan Alban turut membahaskan RUU berkenaan sebelum ianya diluluskan selepas bacaan ketiga.
Arifin seterusnya membentangkan RUU kedua iaitu RUU Mahkamah Anak Negeri 2026 yang melibatkan sepuluh pembahas antaranya ADUN Dilantik, Datuk Roger Chin, ADUN Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, ADUN Segama, Muhammad Abdul Karim, ADUN Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin sebelum diluluskan dengan sokongan majoriti ahli dewan.
Sementara itu, RUU Lembaga Pelabuhan-pelabuhan Sabah (Pindaan) 2026 yang dibentangkan oleh Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick dibahas oleh enam ADUN antaranya ADUN Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin, ADUN Tanjung Aru, Datuk Wong Hong Jun, ADUN Bugaya, Jamil Hamzah, ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun, serta ADUN Tanjung Papat, Thien Ching Qiang sebelum RUU tersebut juga diluluskan selepas bacaan kedua dan ketiga.
Sidang kemudiannya ditangguhkan pada jam 6.07 petang oleh Timbalan Speaker DUN, Datuk Al Hambra Juhar dan akan disambung pada sidang seterusnya.
Terdahulu, sebanyak 13 soalan lisan dijawab pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Untuk Jawapan Lisan yang dikendalikan oleh Speaker DUN, Datuk Seri Kadzim M. Yahya./Penerangan–



