Datuk Seri Dr. Anil Sandhu
Oleh: Vitalis G. Bingkasan
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) ada menyediakan bantuan kepada wakil Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Pembantu Menteri kementerian itu, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu berkata, antara bantuan tersebut adalah subsidi kewangan untuk atlet-atlet membayar kos pengangkutan, penginapan dan makan minum.
Bantuan lain adalah pakaian dan peralatan sukan menjalani latihan, membenarkan atlet menggunakan kemudahan dan fasiliti sukan seperti kompleks sukan serta memberikan insentif kemenangan sebagai galakan dan penghargaan atas pencapaian mereka.
Menurutnya, bantuan itu adalah bagi meningkatkan kebajikan atlet ke kejohanan MSSS dan MSSM.
Anil berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan Thien Ching Qiang (Tanjong Papat) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.
Chin Qiang bertanya apakah usaha kerajaan untuk meningkatkan kebajikan wakil sukan MSSS dan MSSM, termasuk kemudahan latihan, fasiliti sukan serta bantuan kepada keluarga yang mengiringi atlet mewakili daerah atau negeri.
Beliau berkata, melalui bantuan-bantuan yang diberikan, ramai atlet Sabah yang dilahirkan melalui MSSS dan MSSM telah menjadi ikon dalam bidang sukan seperti Eddy Bernard dalam sukan Para oahraga, Nor Farah Mazlan (pencak silat) , Muhammad Asnawi Iqbal Adam (pelayaran) , Wong Kar Gee (Sukan Para lompat jauh kategori T12) , Andre Anura Anuar (lompat jauh dan lompat kijang) , Brenda Anellia Larry (Sukan Para renang Kelas S4/S5), Abdul Halim Mohammad (Sukan Para renang) dan Ivan Jovic Suan (Sukan Para olahraga).
“Kementerian saya turut menerima permohonan daripada pihak sekolah dan keluarga atlet sendiri untuk mengiringi atlet yang bertanding ke kejohanan MSSM.
“Walau bagaimanapun bantuan seperti ini hanya diberikan jika atlet benar-benar layak membawa pengiring semasa menghadiri pertandingan, “ katanya.



