ADVERTISEMENTspot_img

Imigresen Labuan tahan 26 PATI menerusi Ops Mega

Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi Mega pada awal pagi Jumaat.

LABUAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan menahan 26 pendatang tanpa izin (PATI) menerusi Op Mega yang dilaksanakan di dua kawasan penepatan di sekitar pulau ini, pada awal pagi Jumaat.

Pengarah Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Redzuan Nawi berkata, mereka yang ditahan terdiri
18 warga Indonesia dan lapan warga Filipina yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua tahanan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Labuan bagi tujuan dokumentasi dan tindakan undang-undang”, katanya dalam satu kenyataan disini, hari ini.

Beliau berkata, operasi turut melibatkan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan telah memeriksa 51 individu hasil maklumat awam dan risikan.

Jelasnya lagi, operasi penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan memindahkan warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.

Beliau turut mengingatkan majikan atau pemilik premis supaya tidak menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah kerana boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda antara RM10,000 hingga RM50,000, penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang diambil bekerja secara tidak sah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN